Ratusan petani berhenti kerja, semua pakat jadi ‘influencer’ di TikTok

Oleh KIM SYAZIE

Ratusan penduduk di sebuah kampung nekad meninggalkan pekerjaan mereka sebagai petani untuk menjadi hos penstriman langsung (live host) di TikTok.

Menurut AFP, petani-petani di kampung di Desa Cikembar, daerah Sukabumi, Indonesia bersemangat melakukan siaran langsung dengan ‘content’ berjoget, menyanyi dan bermacam lagi.

Tindakan itu dilakukan dengan tujuan memperoleh sumbangan maya daripada penonton TikTok.

Video berkenaan pertama kali dimuat naik oleh pengguna akaun TikTok @Aalay85, sebelum dikongsi semula oleh akaun Instagram @fakta.indo pada 2 April 2025, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Suasana dalam rakaman berkenaan menunjukkan kawasan kampung menjadi seolah-olah pasar malam, dipenuhi dengan bunyi riuh-rendah dan gelak ketawa, sambil warga kampung terbabit menari serta berinteraksi dengan penonton dalam talian

Ada yang menyanyikan lagu popular sambil menari mengikut irama lagu.

Difahamkan, kegiatan tersebut kini menjadi pilihan penduduk kampung sebagai sumber pendapatan alternatif menggantikan kerja pertanian, dengan harapan dapat memperoleh pulangan segera melalui sumbangan maya TikTok.

Fenomena ini bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi netizen.

Ada yang melahirkan rasa simpati terhadap nasib golongan petani yang semakin terdesak mencari pendapatan, manakala sebahagian lain pula menzahirkan rasa sedih dan risau apabila budaya hiburan keterlaluan mula mengambil alih pekerjaan tradisional yang mulia.

Baca juga: Polis dedah 98 peratus kes sumbang mahram, rogol di Kelantan ‘suka sama suka’