Malaysia Dateline

Ratusan rumah di Ipoh dianggar rosak dibadai ribut

Ahli Parlimen Ipoh Barat M. Kulasegaran menganggarkan ratusan rumah di sekitar Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas rosak dibadai ribut lewat petang tadi.

Beliau meminta semua mangsa terlibat membuat laporan polis bagi memudahkan proses menyaluran bantuan kewangan daripada pejabatnya dan kerajaan negeri.

“Kita anggarkan ratusan rumah yang terlibat di dua kawasan ini, jadi diharapkan mangsa buat laporan polis segera supaya memperoleh bantuan,” dipetik BH.

Kulasegaran dilapor berkata demikian ketika melawat lokasi kejadian.

Hari ini tular di media sosial berkenaan kejadian ribut dan pokok tumbang di beberapa kawasan di Bandaraya Ipoh terutama di Kampung Tawas yang kebanyakannya terdiri daripada masyarakat Cina.

Salah satu video berdurasi 9 saat memaparkan kejadian puting beliung sehingga menerbangkan beberapa kepingan atap dari premis berdekatan Kampung Tawas.

Sementara itu, penduduk terlibat turut berkongsikan pengalaman dan gambar lokasi dibadai ribut tersebut.

“Nampak depan mata atap zink berterbangan. Rumah kakak ipar yang teruk begitu juga dengan jiran-jirannya,” kata Sainah Haji Surip.

LANJUT MENYUSUL

Ribut dan angin kencang menjelang Maghrib tadi merosakkan banyak kediaman penduduk.