Malaysia Dateline

Ratusan sukarelawan muda bersihkan rumah terjejas banjir di Sepang

Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang memaklumkan operasi pembersihan kawasan perumahan dan kampung Dengkil yang terjejas akibat banjir melibatkan ramai tenaga anak muda.

“Operasi pembersihan ini akan melibatkan 45 orang dari team parti MUDA, 75 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia dan 40 orang sukarelawan dari Sepang.

“Terima kasih diucapkan kepada team parti MUDA dan para sukarelawan yang sudi membantu,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, ahli MUDA, Shairy Hanapiah berkata, lebih 1,000 unit rumah di Sepang terkesan akibat bencana banjir yang melanda sejak 18 Disember lalu.

“Terdapat juga beberapa tempat lagi yang masih belum menerima bekalan elektrik, menjadikan proses pembersihan agak sukar.

“Dengan tenaga kerja hampir 40 orang di Sepang, kami berjaya membantu membersihkan tiga unit kedai mangsa banjir dalam tempoh lima jam.

“Ianya satu hari yang panjang dan meletihkan, namun sangat memuaskan hati bagi kami para sukarelawan,” katanya dalam hantaran di Facebook.