Malaysia Dateline

Ratusan warga asing mungkin berkumpul di luar masjid selepas polis selesai meronda

Polis Pulau Pinang memohon maaf atas kegagalan pihaknya mengesan lebih 200 warga asing yang berkumpul secara beramai-ramai melakukan aktiviti solat sunat Aidiladha berhampiran Surau Taman Pelangi pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Suhaily Mohd Zain berkata, sebelum kejadian pagi tadi, pihak polis telah melakukan rondaan awal di kawasan berkenaan, namun pengurusan surau didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan bahawa aktiviti itu berlaku selepas polis menjalankan rondaan.

“Ada kemungkinan mereka (warga asing) berhimpun selepas rondaan selesai dan ketika polis menjalankan pemeriksaan terhadap surau dan masjid lain. Polis mohon maaf atas kegagalan mengesan perkara ini dengan lebih awal.

“Pihak pengurusan surau telah mematuhi sepenuhnya garis panduan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dengan mengehadkan kehadiran jemaah seramai 100 orang sahaja.

“Namun kehadiran jemaah semakin ramai dan tidak dibenarkan masuk ke dalam surau pagi tadi menyebabkan mereka mengambil tindakan untuk solat di jalan raya dengan mematuhi penjarakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, petang tadi

Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 22 saat memaparkan sekumpulan jemaah melakukan solat sunat Aidiladha di atas jalan raya yang didakwa tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Menurutnya, mengambil kira sensitiviti umat Islam untuk menunaikan solat sunat itu, pihak pengurusan surau tidak menyuraikan mereka yang berada di luar selain mendapati jemaah melakukan penjarakan fizikal.

“Disebabkan sensitiviti itu juga, pihak surau tidak menghubungi polis memaklumkan kejadian itu,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kes berkenaan, Mohd Suhaily berkata, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku secara spontan, namun pihaknya akan menyiasat jika terdapat perancangan awal oleh pihak tertentu untuk membawa jemaah yang ramai di kawasan berkenaan.

“Hasil penelitian mendapati, kebanyakan jemaah yang terlibat terdiri daripada warga asing yang tinggal dan bekerja di sekitar Taman Pelangi.

“Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, dalam menghadapi pandemik Covid-19 kita tidak akan berkompromi sekiranya terdapat pihak yang melakukan pelanggaran SOP.

“Kita dapati pihak surau telah mematuhi SOP, namun tidak menolak kemungkinan jemaah yang kebanyakan warga asing tidak memahami amaran yang dikeluarkan pada Isnin mengenai pematuhan ketat SOP sempena perayaan Aidiladha,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya polis kini sedang mengesan jemaah terlibat kerana tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.