Malaysia Dateline

Rawatan methadone di tiga buah masjid di P.Pinang akan direalisasikan, kata Nurul Izzah

Peranan masjid harus ditingkatkan bagi menjadikan ia sebagai salah sebuah institusi agama yang memberi banyak manfaat kepada masyarakat, kata Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Menurutnya, selepas Aidilfitri program terbaru yang akan dilaksanakan ialah memperkenalkan penggantian rawatan Methadone kepada penagih di beberapa buah masjid yang terpilih di Pulau Pinang.

“Melalui program penggantian rawatan Methadone ini tiga buah masjid telah terpilih bagi penagih heroine mendapatkan rawatan Methadone tersebut.

“Masjid di Guar Perahu, Tasek Gelugor dan juga di Tanjung Bunga, Pulau Pinang akan menjadi premis bagi khidmat tersebut.

“Ia akan turut dibantu melalui kumpulan dari Universiti Malaya serta mendapat kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia,” ujarnya ketika ditemui selepas program penyerahan bantuan Ihya Ramadan kepada 76 surau dalam Parlimen Permatang Pauh semalam.

Malah katanya, penagih dadah akan dibantu dengan diberi ruang untuk mendapat rawatan dari doktor disamping dibimbing untuk kembali kepada masyarakat dan ahli kariah.

“Khidmat pemberian rawatan Methadone yang akan dilaksanakan di masjid terpilih tersebut adalah bagi membuktikan masjid mampu menjadi penyelamat masyarakat dalam pelbagai kaedah.

“Masjid juga mampu untuk menjadi pedoman kepada golongan tersebut disamping menggalakkan mereka mendekatkan diri dengan Allah s.w.t.

“Adalah diharapkan dengan kerjasama dan komitmen dari Jabatan Agama Islam, Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi lagi maka aspirasi untuk menjadikan masjid sebagai tempat bagi program rawatan Methadone tersebut mampu membawa perubahan kepada penagih tersebut, “tambahnya lagi.

Hadir sama dalam majlis penyerahan sumbangan tersebut ialah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin.