Malaysia Dateline

Rawatan pasca Covid-19, ini perkongsian warganet kepada Nasrudin

Ramai bekas pesakit Covid-19 berkongsikan rawatan pasca wabak itu selepas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan bertanyakan hal tersebut.

Paling ramai memberitahu elok amalkan pengambilan makanan tambahan, minum jus perahan lemon bercampur halia, madu dan cengkih.

Mereka berkata, pengambilan minuman itu sangat penting dalam mengawal tekanan darah.

“Alumni Covid-19: Saya nak tanya pengalaman sahabat-sahabat yang pernah +C19. Bagaimana keadaan pasca +C19 ni ?

“Saya jadi cepat penat, batuk, nak sampai kuliah pun sukar. Apakah sahabat-sahabat alami situasi serupa ? Apakah rawatan pasca +C19 ? Boleh bagi pandangan?” tanya Nasrudin yang sebelum ini disahkan positif Covid-19.

Rawatan pasca Covid-19, ini perkongsian warganet kepada Nasrudin
Nasrudin Hassan

Pengguna Facebook, Abd Wafiy Wafiy berpendapat wajar mencontohi amalan Rasulullah ketika baginda sakit termasuk mengambil habbatus sauda selain madu dan kurma.

Bagi Fatihah Mohiden pula, dia berkongsikan pengalaman suaminya yang mengalami perkara sama seperti ditempuhi Nasrudin.

“Hanya buat rendaman cengkih pada air panas kemudian sedut dan hembus. Air kelapa wajib ambil,” katanya.

Turut berkongsikan rawatan pasca Covid-19 ialah Anis Salleh yang berkata, suaminya menghasilkan ubat batuk sendiri dengan ramuan mengandungi madu, lemon dan bawang putih yang diketuk berserta cengkih.

“Dalam masa sama, setiap hari saya brisk walk dan jogging selama dua bulan untuk panjangkan nafas sebab pernafasan saya jadi semput lepas Covid-19. Alhamdulillah sekarang dah okey,” katanya yang pernah dijangkiti Covid-19 kategori 3 sebelum program vaksinisasi awal tahun lalu.

Ketika itu, jelasnya, dia mengalami radang paru-paru, batuk yang kuat dan berpanjangan sehingga diserang asma.

Sementara itu, Zulkifli Che Noh berkata, beliau sendiri sebagai bekas pesakit Covid-19 makan makanan yang sihat, ambil vitamin C yang berkualiti seperti jenama Blackmores yang ujarnya, halal dan berkualiti.

“Yang paling penting ialah senaman kardiovaskular ringan yang mampu menguatkan semula peparu kita contohnya berjalan laju, temponya kawal, cuba sekali sehari dulu.

“Insyaa Allah, dalam beberapa bulan, aras oksigen akan pulih hampir sama seperti asal,” cerita Zulkifli yang dahulu cepat penat selepas dijangkiti Covid-19.

Turut berkongsikan rawatan pasca Covid-19:

Marwa Safa: “Alhamdulillah berkesan nampaknya, 1 sudu besar madu asli + jus lemon 1biji, kacau, minum… Alhamdulillah.

Rosiah Salleh: “Air gaharu setakat ini dengan izin Allah, sangat membantu.”

Hasbullah Bin Pit: “Kayuh basikal sahaja. Ubat macam-macam penyakit.”