Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan orang ramai untuk bersalaman ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti dan menyenaraikan protokol baru yang akan berkuatkuasa 1 Mei ini.
Mesyuarat Kabinet yang diadakan pada semalam membenarkan aktiviti itu tetapi dengan syarat agar masyarakat masih menjaga kebersihan tangan.
“(Aktiviti) salam dibenarkan tetapi sentiasa mencuci atau membersihkan tangan dan jangan sentuh muka selepas bersalaman,” kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media di ibu pejabat KKM.
Protokol baru
Pada masa sama, KKM turut menggariskan beberapa protokol sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan antaranya membenarkan takbir hari raya di masjid-masjid dan surau-surau serta boleh dibuat di rumah dengan syarat memakai pelitup muka.
Solat sunat Aidilfitri pula dibenarkan dengan kapasiti penuh dan dengan syarat memakai pelitup muka.
“Individu positif Covid-19 dilarang untuk menyertai aktiviti takbir raya dan hanya individu tanpa gejala dan lengkap vaksinasi digalakkan untuk menyertainya,” katanya.
Ziarah dan jamuan Aidilfitri juga dibenarkan dengan syarat memakai pemakaian pelitup muka namun pesakit Covid-19 tidak dibenarkan hadir.
Selain itu, ziarah tanah perkuburan turut dibenarkan.
Menurutnya, ketetapan ini termaktub bagi acara rumah terbuka di dalam dan di luar bangunan.
Baca juga: Tol percuma bukan sepanjang minggu Aidilfitri, ini 4 perkara anda perlu tahu