Malaysia Dateline

Raya pakai pelitup muka atau tidak? Doktor akui kes jangkitan paru-paru turun mendadak sejak serangan Covid-19

Hari Raya Aidilfitri tahun ini dalam masa sama menguji kita sejauh mana dapat mengamalkan penjagaan kendiri mencegah penularan Covid-19 termasuklah memakai pelitup muka.

Aktiviti kunjung-mengunjung menjadi rancak selepas dua tahun berdepan kekangan sekatan pergerakan termasuk merentas negeri gara-gara wabak bermula dari Wuhan, China itu.

Namun, ketika kita bergembira berjumpa sanak saudara dan rakan taulan jangan dilupakan ancaman jangkitan Covid-19 yang telah mengorbankan 35,547 nyawa sejak 25 Januari 2020 hingga 30 April lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pun telah mengingatkan kemungkinan peningkatan kes Covid-19 selepas musim perayaan Aidilfitri ini.

Walaupun, katanya, peningkatan kes majoriti adalah Kategori Satu serta Dua, iaitu tiada gejala dan bergejala ringan, tetapi orang ramai perlu terus mengamalkan SOP mencegah penularan jangkitan ketika menyambut Aidilfitri.

Pemakaian pelitup muka di luar bangunan yang tidak lagi diwajibkan sejak 1 Mei lalu sebenarnya bukan tiket bebas 100 peratus untuk mengabaikan SOP seperti pemakaian pelitup muka selain kerap mencuci tangan.

Bahkan, seorang doktor perubatan mengakui bahawa serangan asma pada kanak-kanak dan dewasa serta kes jangkitan pneumonia turun mendadak sejak dua tahun budaya pemakaian pelitup muka diwajibkan.

Ikuti perkongsian DR HANA HADZRAMI berkenaan manfaat pemakaian pelitup muka dalam mengawal jangkitan berkaitan organ pernafasan sambil anda mungkin sedang dalam perjalanan meneruskan kunjungan Aildilfitri di Syawal kedua hari ini:

Dah tak perlu pakai pelitup muka bila di luar bangunan, ‘kan? Tapi masih perlu pakai bila berada di dalam bangunan dan di kawasan tertutup serta digalakkan bila berada di kawasan sesak. Imbas MySejahtera pun sudah tidak perlu.

Betul-betul jaga kendiri. Sebenarnya semenjak dua tahun pemakaian pelitup muka diwajibkan, kes serangan asma pada kanak-kanak dan dewasa sudah merudum turun.

Kes jangkitan paru-paru (pneumonia) pun sama. Mendadak turun, berbanding waktu zaman tidak pakai pelitup muka.

Ada kebaikan pakai pelitup muka secara tidak langsung. Hari Raya Aidilfitri ini bila sambut tetamu datang rumah, anda mahu pakai pelitup muka atau tidak? Tepuk dada fikir risiko sendiri, ya.

Ventilator di hospital kami banyak dan sedia berkhidmat jika diperlukan selepas raya. Saya ikhlas beritahu. Manalah tau, ‘kan

Baca Doktor sedih dipaksa ‘seksa’ pesakit, waris mahu rawatan diteruskan walau tubuh ayah keluar ulat berengga hanya mahu wang pencen