Rayani Air ‘diperhati’ Kementerian Pengangkutan

Rayani Air ‘diperhati’ Kementerian Pengangkutan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Kementerian Pengangkutan sedang membuat pemantauan rapi ke atas Rayani Air Sdn Bhd ekoran pendedahan orang ramai mengenai kelewatan dan pembatalan penerbangan syarikat penerbangan patuh syariah pertama di Malaysia itu.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya akan menyiasat laporan berhubung aduan pengguna kerana masalah seperti pembatalan penerbangan yang tidak diganti merupakan suatu perkara serius.

“Kami akan siasat sekiranya laporan dikemukakan kepada kementerian. Malah, kami juga boleh menggantung perkhidmatan syarikat penerbangan itu sekiranya ia tidak mematuhi arahan kami,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di ibu negara, semalam.

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki telah menyuarakan rasa tidak puas hati mengenai perkhidmatan Rayani Air di laman Facebook.

Beliau yang dilantik untuk jawatan tersebut pada 29 Julai tahun lalu itu berkata, pembatalan penerbangan secara sewenang-wenangnya menyukarkan pelbagai urusan orang ramai serta menyifatkan Rayani Air sebagai indah khabar dari rupa.

“Ingatlah! Aspek pematuhan shariah (shariah compliant) bukan sekadar berbangga dengan peragaan pakaian krew yang menutup aurat tetapi termasuklah aspek menunaikan janji dan menepati masa.

“Kalau prinsip perkhidmatan yang asas seperti ini tidak dapat dipatuhi, usah mendabik dada mendakwa kononnya penerbangan pertama patuh shariah,” bidasnya pada status Facebook yang dimuat naik, 19 Mac lalu.

Asyraf yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut menegaskan bahawa Rasulullah SAW menegah keras tindakan menggunakan perlambangan dan pelabelan Islam untuk melariskan jualan.

“Akhirnya, Islam bukan hanya sekadar label apatah lagi untuk diperdagangkan tetapi perlu memenuhi prinsip syariah, nilai dan akhlak yang lebih utama,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, Rayani Air telah memperoleh Sijil Pengendali Udara (AOC) dan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) yang diperoleh daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

Syarikat perkhidmatan penerbangan tambang murah baharu itu yang memiliki dua pesawat Boeing jenis B737-400 itu memulakan penerbangan sulungnya dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu mulai 20 Disember tahun lalu diikuti Kuala Lumpur-Langkawi dan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu.

Rayani Air merupakan syarikat penerbangan keempat di dunia yang berasaskan patuh syariah selepas Penerbangan Diraja Brunei (RBA), Saudi Arabian Airlines dan Iran Air

TAGS