Malaysia Dateline

Rayuan doktor kontrak: ‘Tengoklah macam mana’, kata PM

Langkah untuk memberi jawatan tetap dalam sektor perkhidmatan awam kepada ribuan doktor kontrak akan membabitkan kos yang tinggi iaitu lebih RM2 bilion, kata Perdana Menteri.

Tan Sri Mahiaddin Md Yasin berkata, beliau akan berbincang dengan Jemaah Menteri berkenaan rayuan doktor kontrak terbabit.

“Kalau kita hendak (tunaikan permintaan) itu ia akan libatkan kos yang tinggi lebih dari RM2 bilion. Dalam keadaan sekarang, ada keterbatasan sikit.

“Jadi, kita tengoklah macam mana keadaan yang dapat kita atasi,” katanya kepada kepada pemberita selepas melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang hari ini.

Beliau berkata perkara itu perlu dibincang dengan teliti dengan kertas cadangan oleh Kementerian Kesihatan akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.

“Mereka meminta untuk dijadikan jawatan tetap dan sebagainya. Ini saya telah minta untuk dibawa ke Jemaah Menteri kerana kita akan bincang apa keputusan yang munasabah,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba meminta doktor kontrak supaya bersabar sementara isu dihadapi mereka dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

Untuk rekod, ribuan doktor dalam skim kontrak kerajaan tidak akan berganjak untuk melancarkan mogok pada 26 Julai ini jika tuntutan mereka dalam Memorandum Gerakan #Hartal tidak diselesaikan.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr Mustapha Kamal A Aziz berkata, tindakan drastik itu akan diambil jika kerajaan tidak memberi jawatan tetap kepada lebih 20,000 doktor kontrak yang direkrut sejak 2016.

Tegasnya, kerajaan dituntut menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada dan memohon penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap.

“Sejak 2016, seramai 786 pegawai perubatan saja dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak,” katanya pada sidang media secara maya, 1 Julai lalu.