Malaysia Dateline

Razali Idris tidak wajar sesuka hati salah guna ‘penyakit mental’

Ahli-ahli Dewan Negara Pakatan Harapan (PH) Plus kesal dengan kenyataan Senator Datuk Razali Idris yang mahukan satu Rang Undang-Undang (RUU) dipinda agar tindakan tegas dikenakan terhadap pengguna media sosial yang mengkritik institusi Perdana Menteri.

Beliau dilaporkan berkata bahawa tindakan mengkritik kerajaan di media sosial adalah ‘penyakit mental nombor satu yang memerlukan tindakan undang-undang yang lebih tegas dan efektif’.

Kenyataan tersebut kemudiannya dibidas oleh 20 Ahli Senator PH Plus dengan beberapa daripadanya merupakan anggota Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara.

Mereka menegaskan Razali wajar memperlihatkan kematangan sebagai Ahli Dewan Negara dan tidak menyalahgunakan frasa ‘penyakit mental’ sesuka hati tanpa sedikit pun rasa sensitif terhadap mereka yang mengalami kemurungan.

“Senator Datuk Razali kelihatan begitu ‘rentan’ sekali dengan kritikan pedas rakyat Malaysia terhadap kelemahan kerajaan menguruskan wabak Covid-19, sehingga sanggup membungkam hak bersuara rakyat Malaysia.

“Beliau tentunya berhak bersuara sebagai seorang Ahli Dewan Negara, walaupun kami tidak bersetuju dengan pandangan beliau kali ini.

“Akan tetapi, adalah tidak wajar bagi beliau untuk mewakili Kaukus apabila pandangan yang diutarakan adalah penuh kontroversi dan bersifat partisan,” kata Senator PH dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama dengan empat anggota Kaukus antaranya Senator Raj Munni Sabu, Senator Liew Chin Tong, Senator Datuk Theodore Doughlas dan Senator Ismail Yusop.

Manakala 16 Ahli Dewan Negara yang lain ialah Dr Yaakob Sapari, Datuk Marzuki Yahaya, Waythaa Morthy Ponnusamy, Datuk Donald Peter Mojuntin, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah, Datuk Husam Musa dan Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Turut terlibat Manolan Mohamad, Mohd Imran Abdul Hamid, Dr Ahmad Azam Hamzah, Lim Hui Ying, Nga Hock Cheh, Alan Ling Sie Kiong, Adrian Banie Lasimbang, Kesavadas Achyuthan Nair dan Suresh Singh.

Terdahulu, Razali dari Bersatu berkata satu RUU baharu berkait cercaan, hasutan dan carutan perlu diperkenalkan secara khusus atau melalui pindaan undang-undang sedia ada dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Dia berkata demikian susulan kritikan pedas yang dilemparkan rakyat Malaysia terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di laman rasmi Facebook Presiden Indonesia baru-baru ini.

Menurut Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu tersebut, tindakan tegas perlu diambil terhadap pengguna yang menunjukkan sikap ekstrem melampau serta tidak patriotik di media sosial.

Sementara itu Senator PH Plus memaklumkan, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara telah ditubuhkan pada Disember tahun lalu sebagai satu platform bi-partisan untuk menyiasat masalah-masalah yang dihadapi rakyat.

Antara isu yang dicadangkan untuk disiasat termasuklah kesesakan penjara, isu daging halal dan isu FELDA.

Jelasnya, beberapa sesi mesyuarat juga telah diadakan pada Disember 2020 tetapi Pengerusi Kaukus tidak lagi memanggil mesyuarat selepas itu, mungkin kerana Parlimen telah digantung susulan pengisytiharan darurat.

Bagaimanapun Senator PH Plus menegaskan, seluruh Ahli Dewan Negara harus menyahut seruan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim untuk menjadikan Dewan Negara sebagai satu medan yang lebih bi-partisan.