Razif kekal sebagai MB, kata Najib selepas menghadap Istana

Razif kekal sebagai MB, kata Najib selepas menghadap Istana

Ahmad Razif Abdul Rahman akan kekal sebagai Menteri Besar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas bertemu Sultan Terengganu, lapor The Star.

“Isu ini telah selesai,” kata Najib dalam sidang media selepas sambutan Hari Buruh di Putra World Trade Centre dekat ibu negara.

Bagaimanapun keputusan untuk mengekalkan gelaran kepada Ahmad Razif terserah kepada istana.

22 April lalu Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah melucutkan semua darjah kebesaran yang dikurniakan kepada Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu.

Kenyataan itu berbunyi: “Setelah berunding dengan Dewan Pangkuan Diraja Negeri Terengganu, adalah dimaklumkan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan telah melucutkan semua Darjah-darjah Kebesaran Negeri Terengganu yang telah dikurniakan kepada Ahmad Razif bin Abd Rahman berkuat kuasa mulai hari Jumaat, 22 April 2016.

“Pengisytiharan yang dibuat ini tiada kaitan dengan perkembangan-perkembangan lain yang berlaku di negeri Terengganu,”

Ahmad Razif dikurniakan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Terengganu Kehormat (DPMT) yang membawa gelaran Datuk pada 2012 dan Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZ) yang membawa gelaran Datuk Seri pada April 2015.

Ahmad Razif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei 2014..

TAGS