Malaysia Dateline

Razman biadab, berlepas tangan isu kenaikan harga barang

Pemuda AMANAH Perak menyelar kenyataan Exco Pertanian negeri dari Pas, Razman Zakaria yang menggesa rakyat supaya menerima hakikat kenaikan harga barang terutama harga sayur – sayuran dan mengganggapnya sebagai hal yang tidak boleh dielakkan selagi kita hidup.

Pengarah Komunikasinya, Ikhmal Iskandar berkata, respon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu adalah suatu kenyataan yang sangat biadab dan memperlihatkan beliau berlepas tangan untuk bertanggungjawab tentang sebarang kenaikan harga barang.

“Sebarang kenaikan yang tidak dapat dibendung perlu ditangani segera agar rakyat tidak terus dibebankan apatah lagi pandemik Covid-19 masih belum berakhir,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Razman dalam sidang DUN Perak berkata, selagi mana manusia ini hidup isu harga barang naik tidak akan selesai.

“Kita harus sedar perkara kenaikan harga ini tidak akan selesai selagi kita hidup. Oleh itu kita kena terima fact (hakikat).

“Kita boleh mainkan isu harga barang macam kangkung boleh naik sampai 200 peratus,” kata Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak itu lagi.

Sehubungan itu, Ikhmal berkata, Pemuda AMANAH negeri mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya bekerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membeli terus hasil pertanian dan ternakan dalam mengurangkan peranan orang tengah serta menjual semula melalui saluran Pasar Tani.

“Kaedah ini dilihat mampu menstabilkan harga barang seraya mengurangkan sehingga 30 peratus harga barang daripada harga pasaran.

“Semoga rakyat tidak terus terbeban dan Exco tidak celupar mulut dalam memberi jawapan di dalam sidang Dun,” tambah Ikhmal lagi.