Malaysia Dateline

RCI juga perlu ditubuhkan siasat 1MDB,kata Muhyiddin

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, keputusan kabinet menubuhkan RCI tidak lain merupakan satu percubaan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada skandal penyelewengan 1MDB dan saman sivil Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat.

“Najib tidak perlu bersikap ‘double-standard’ dalam kedua-kedua kes ini. Jika dia benar-benar mahu mencari kebenaran, maka sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat penyelewengan 1MDB perlu ditubuhkan segera.

“Siasatan ke atas 1MDB bukan hanya berkisar tentang pembabitan Najib, tetapi ia juga merangkumi isu tadbir urus yang amat lemah sehingga menyebabkan kehilangan wang rakyat yang cukup besar melebihi RM50 bilion, kesan pecah amanah yang amat teruk dan nasib buruk yang menimpa rakyat.

“Apa lagi dengan pendedahan terkini oleh DoJ dan saman sivil yang sedang dilakukan untuk menyita dan seterusnya merampas aset-aset yang diperolehi secara haram dengan menggunakan wang 1MDB,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau lagi, keputusan kabinet itu sesuatu yang aneh kerana ingin menyiasat kerugian Bank Negara Malaysia dalam urusniaga mata wang asing lebih 25 tahun lalu.

“Bukankah kes ini telah disiasat dan individu-individu terbabit telah lama meletakkan jawatan? Apa pula muslihat Najib menubuhkan suruhanjaya ini?

“Jika benar Najib hendak mencari kebenaran dalam isu kerugian urusniaga ini, beliau sepatutnya telah bersuara mengenainya ketika beliau berada di dalam kabinet Tun Dr Mahathir 25 tahun yang lalu.

“Jika tidak di dalam kabinet, beliau boleh menyuarakannya di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang mana pada ketika itu beliau adalah Naib Presiden,” ujarnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak  katanya lagi, gagal menjawab pelbagai persoalan mengenai 1MDB.

“Najib tidak mampu menjawab pelbagai persoalan yang melingkari 1MDB terutama yang melibatkan pembabitan dirinya sendiri dan ahli keluarganya secara langsung dalam penyelewengan wang 1MDB.

“Sedangkan keperluan yang amat mendesak pada ketika ini ialah untuk menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja menyiasat penyelewengan 1MDB.

“Suruhanjaya ini perlu menyiasat sejauhmanakah pembabitan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dalam membuat keputusan-keputusan mengenai kewangan 1MDB sepertimana yang termaktub di dalam Fasal 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan 1MDB?,” soalnya lagi.

Pada Rabu kabinet bersetuju dengan syor pasukan petugas khas (PPK) yang mengesyorkan terdapat keperluan menubuhkan RCI bagi membolehkan siasatan mengenai kerugian BNM sekitar tahun 1980-an dan 1990-an.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata hasil laporan PPK yang dibentangkan itu mendapati wujudnya kes prima facie bagi kerugian BNM akibat dagangan mata wang asing dalam tempoh tersebut.

Sebagai rekod PPK ditubuhkan 15 Februari lalu dan dipengerusikan bekas ketua setiausaha kerajaan Tan Sri Sidek Hassan. Ia ditubuhkan bagi menyiasat kerugian yang dialami bank pusat itu antara 1991 dan 1993. Awal Februari lalu, bekas penolong gabenor BNM Datuk Abdul Murad Khalid mendedahkan bank pusat itu mengalami kerugian RM44bilion (AS$10 bilion) dalam urus niaga perdagangan mata wang pada awal 90-an.