Malaysia Dateline

RCI siasat isu kartel daging beri pencerahan

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) amat mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengimportan daging yang diragui.

Ketua Pengarah MAQIS, Saiful Yazan Alwi berkata, usaha itu supaya segala dakwaan berkaitan isu berkenaan dapat disiasat segera.

“Apabila ada RCI yang terdiri daripada jawatankuasa bebas, ia dapat memberi pencerahan kepada rakyat berikutan tohmahan yang berlaku sekarang, khasnya berhubung agensi penguatkuasaan kerajaan,” lapor Bernama.

Dalam masa sama, beliau berharap Dewan Rakyat dapat meminda Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) tahun depan.

Pindaan terhadap akta itu katanya, bagi memperluas serta memperkukuh bidang penguatkuasaan jabatan tersebut.

MAQIS berperanan memantau dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara untuk produk yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit serta bahan cemar.

Mengulas lanjut, Saiful Yazan berkata, pindaan Akta 728 telah memperoleh kelulusan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, serta dalam proses penelitian dari aspek perundangan oleh Jabatan Peguam Negara.

“Ketika ini, bidang kuasa MAQIS hanya di pintu masuk, stesen kuarantin dan premis kuarantin,” katanya.

Sehubungan itu, jelasnya skop penguatkuasaan di luar pintu masuk dapat diperluaskan jika akta itu dipinda, termasuk aspek penangkapan dan pertuduhan.

Terdahulu, media membongkar kegiatan kartel disyaki menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina, sebelum membungkusnya semula menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.