Malaysia Dateline

RCI Tabung Haji: Menteri mungkin mahu ambil hati, ambil jalan selamat

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berpendapat kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sebagai mengelirukan.

Menurutnya, Zulkifli dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebelum ini hanya menyebut kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti transaksi yang berlaku di dalam TH.

“Bermakna tidak ada RCI. Itu jawapan rasmi. Tapi hari ini (semalam) dalam penggulungan di Dewan Rakyat, beliau (Zulkifli) sebut jawatankuasa khas tetapi juga disebut tidak menolak kemungkinan RCI ditubuhkan.

“Ini kenyataan yang mengelirukan. Jawapan yang rasmi kata hanya cukup jawatankuasa khas. Satu lagi tidak menolak kemungkinan penubuhan RCI.

“Dia mungkin tertekan dengan kehendak pihak tertentu, nak ambil hati atau ambil jalan selamat,” katanya dalam bicara khas menerusi Jom Channel FB Live malam tadi.

Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, langkah penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti transaksi dalam TH juga seolah-olah mempertikaikan profesionalisme ahli lembaga TH.

“Kalau nak buat RCI pun, apa term of reference? RCI ini sifatnya tidak ada jawapan, tidak tahu siapa. Perlu dapat persetujuan Agong.

“Soalnya dia nak buat RCI apa? Dia nak kata kita buat tidak betul? Padahal, kita dah dapat jawapan baru-baru ini di Parlimen. Kita sudah berada di landasan yang benar,” ujarnya.

Untuk rekod, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, 14 Julai lalu mengakui TH mempunyai lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM1.9 billion dan tidak dikuasai orang bukan Islam.

Menurutnya, kedudukan terkini aset TH pada 30 Jun lalu seperti yang diumumkan dalam laporan prestasi TH setengah tahun pertama 2020 berjumlah RM78 bilion.

Jelasnya, selaras dengan pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH, aset-aset yang kurang berdaya saing telah dipindahkan kepada sebuah Syarikat Tujuan Khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Sehubungan itu, tambah Muhyiddin, TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, beliau bagaimanapun mengalu-alukan penubuhan RCI jika kerajaan sekarang menganggap itu sebagai langkah yang terbaik.

“Dia pertikai TH Plantations jual iaitu terpaksa melepaskan aset yang ‘sakit’. Dulu tahun 2013, kenapa kamu beli satu ladang yang tidak ada produktiviti dan menggunakan kaedah tidak betul.

“Kalau RCI itu ada, periksa sama kenapa beli bukan soal jual saja,” bidasnya.

Dalam masa sama, Mujahid berpendapat isu RCI untuk TH lebih bermotifkan kepada kepentingan politik untuk memburukkan imej.

“Bahkan, menteri dan timbalan hari ini tidak mempertahankan usaha integriti yang dibuat oleh TH, malah mempertikaikan tahap profesionalisme TH yang telah diiktiraf dunia sebagai institusi kewangan terbaik,” katanya lagi.

MembengkakĀ 

Pimpinan TH dan menteri era kerajaan BN dilihat membiarkan defisit TH membengkak walaupun diberi amaran oleh Bank Negara sejak 2014 lagi.

Walau bagaimanapun, sejak 2018, Mujahid pula ‘diserang’ dengan pelbagai fitnah berkaitan TH termasuk kononnya TH dijual kepada Lim Guang Eng yang ketika itu Menteri Kewangan.

Sejak bulan lalu, beberapa Ahli Parlimen kerajaan mencadangkan penubuhan RCI bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lalu.

Cadangan itu diutarakan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) yang juga bekas pengerusi TH.

Katanya, cadangan penubuhan RCI diutarakan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bagi menyiasat secara telus dan menjawab segala dakwaan berkaitan institusi kewangan umat Islam berkenaan.

Pada Mei 2018, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah merampas wang tunai bernilai kira-kira RM1 juta iaitu separuh daripadanya adalah wang tunai Ringgit Malaysia dan selebihnya adalah mata wang asing bernilai kira-kira RM500,000.

Turut dirampas barang perhiasan termasuk emas di empat lokasi termasuk dua kediaman Abdul Azeez di Sunway dan Baling serta pejabat TH serta Pejabat Kelab Putera 1Malaysia.

Serbuan itu ada kaitan mengenai siasatan berkenaan satu projek seliaan TH.