Malaysia Dateline

RCI TH ditubuhkan, siasatan tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan

Jemaah Menteri hari ini bersetuju supaya kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dibawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai Tabung Haji dari tahun 2014 hingga 2020.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob antara terma RCI yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri antaranya, skop RCI tertumpu kepada hasil penemuan perunding-perunding ke atas isu-isu berbangkit Lembaga Tabung Haji (LTH) tetapi tidak termasuk Pelan Pemulihan dan Penstrukturan yang sedang dilaksanakan masa ini.

“Menentukan sama ada terdapat tindakan menyembunyikan (cover up) maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberi kenyataan yang mengelirukan mengenainya.

“Mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung jika mereka didapati melanggar mana-mana peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa tanpa menjejaskan siasatan dan tindakan perundangan yang dijalankan pihak berkuasa berkaitan.

“Dan mengemukakan kepada kerajaan laporan hasil semakan dan syor mengenai tindakan susulan jika perlu dalam tempoh tiga bulan,” katanya dalam kenyataan.

Ismail juga memberitahu keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

Justeru katanya, RCI ini wajar ditubuhkan supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara yang dibangkitkan tersebut dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej dan keyakinan rakyat terhadap LTH.