RCI Wang Kelian bermula hari ini

RCI Wang Kelian bermula hari ini
Sesi pendengaran RCi Wan Kelian yang dipengerusikanTun Arifin Zakaria (kanan) diadakan di Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini akan berlansung selama tiga hari bermula hari ini.- Foto Wan Zahari Wan Salleh.

Sesi pendengaran awam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis bermula hari ini, dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi RCI Tun Arifin Zakaria yang menggariskan terma rujukan siasatan suruhanjaya itu.

Sesi berkenaan berlangsung di Dewan Gemilang, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, yang diubahsuai seperti mahkamah, bermula dengan ucapan Arifin pada kira-kira 9.30 pagi.

Arifin berkata RCI itu akan bertindak mengikut terma rujukan suruhanjaya itu bagi menyiasat kejadian kem penempatan sementara dan kubur tersebut selain menyiasat prosedur semasa dan selepas kejadian yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

RCI, yang diperkenan penubuhannya oleh Yang di-Pertuan Agong pada 29 Januari lepas, antara lain akan meneliti semua dokumen dan bukti berkaitan dengan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, katanya.

“RCI juga akan menyiasat sama ada penambahbaikan telah dilaksanakan terhadap penguatkuasaan selepas kejadian serta mengenal pasti implikasi terhadap negara selepas kejadian,” katanya.

Timbalan Pengerusi RCI itu ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai.

Anggota RCI lain ialah bekas Ketua Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Noorbahri Baharuddin; Tan Sri Razali Ismail yang baharu meletak jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) ; bekas Ketua Penyelidik, Jabatan Peguam Negara, Datuk Junaidah Abdul Rahman; bekas Duta Malaysia ke Th yang ailand, Datuk Nazirah Hussin; dan bekas Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Dr Tan Seng Giaw.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan 147 kubur dan 28 kem pemerdagangan manusia yang ditinggalkan di puncak Bukit Wang Burma di Wang Kelian yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand.

RCI itu akan dibantu oleh dua pegawai pengendali yang akan menjalankan siasatan (inkuiri) terhadap pegawai-pegawai penyiasat, saksi-saksi dan mana-mana individu yang difikirkan perlu.

Selepas sesi pendengaran selesai, Arifin berkata RCI itu akan mengesyorkan tindakan dan penambahbaikan yang diambil oleh kerajaan, seterusnya mengemukakan laporan siasatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Prosiding RCI dimulakan dengan memanggil saksi pertama Koperal Mat Ten yang bertugas di Batalion Tiga, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bedong, Kedah.- BERNAMA