RCI Wang Kelian: Penemuan buku tulisan Siam di kem penempatan

RCI Wang Kelian: Penemuan buku tulisan Siam di kem penempatan

Setakat ini saksi ketiga Inspektor Mossadique Azni, 37 yang juga salah seorang anggota polis yang membuat tinjauan di Wang Kelian, Perlis pada Januari 2015, mendedahkan penerimaan beberapa barang kes di tempat kejadian.

Barang kes tersebut susulan tinjauan dan serbuan yang dilakukan 10 anggota polis ke kawasan kem penempatan sementara didakwa kawasan Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

Beliau memberitahu ahli panel, Korporal Mat Ten (saksi pertama) telah menyerahkan kepadanya sebuah buku yang mengandungi tulisan siam, telefon bimbit nokia, tiga sim kad, kad pengenalan diri dan beberapa CD yang dikenalpasti antaranya Cd bollywood.

Mat Ten juga dalam keterangannya hari ini mengesyaki Pati tersebut merupakan warganegara Thailand berikutan barang-barang yang ditemui semuanya dalam bahasa Thai.

Pada 19 Januari 2015, Mossadique dikatakan telah diarah untuk mengumpul anggota ke Post Wang Kelian untuk berjumpa dengan Sarjan Yusof (Saksi kedua) untuk mendapatkan maklumat.

“Saya telah membawa beberapa anggota dan berjumpa dengan Sarjan Yusof untuk mendengar taklimat daripada beliau yang menceritakan penemuan kem di kawasan laluan denai di situ.

“Selepas mendengar taklimat dan berbincang bersama korporal yang lain, kami buat keputusan untuk pergi meninjau pada pukul 2.30 petang yang dipandu oleh Korporal Mat Ten.

“Jam lebih kurang 4 petang, Sarjan Yusof menunjukkan pada saya khemah Pati tersebut. Apabila nampak khemah dan keadaan kawasan, saya turun balik dan berbincang dengan sarjan Yusof. Saya katakan bahawa kami kena turun balik dan perlu beritahu OC.

“Tiba-tiba terdengar Mat Ten memanggil mengatakan mereka sudah lari dan apabila kami naik, kawasan dah kosong. Saya beri arahan pada anggota untuk geledah kawasan tersebut,”katanya.

Sementara itu, saksi keempat, ASP Pegawai Tatertib, Azizi Mohd, 39 mengesahkan menerima barang-barang kes dari Inspektor Mossadique (saksi ketiga) berupa buku, kad pengenalan, telefon dan beberapa keping cd.

Difahami, Azizi tidak terlibat dalam operasi meninjau dan menyerbu ke kawasan kem penempatan yang dipercayai lokasi Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati).

Namun selepas beberapa hari tinjauan di Wang Kelian, Azizi diminta untuk bertanya pada ahli anggota yang terlibat dalam operasi sekiranya mereka ada menyimpan barang-barang kes dari penggeledehan yang dilakukan.

“Mossadique ada menyerahkan barang-barang kes untuk saya simpan sementara kerana di post kawalan mereka tiada almari berkunci.

“Saya menyimpan barang tersebut dan kemudian telah menyerahkannya pada cawangan Khas,” katanya.

Prosiding Hari kedua dijangka akan dijalankan pada esok.

Baca: Temui jejak