RCI Wang Kelian: Saksi pertama dedah penemuan kem sementara, kubur

RCI Wang Kelian: Saksi pertama dedah penemuan kem sementara, kubur

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) selesai merakam keterangan anggota polis korperal Mat Ten, 58, saksi pertama yang dipanggil bagi membantu siasatan berhubung penemuan penempatan sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

Anggota Pasukan Gerak Am (PGA) itu mendedahkan bagaimana beliau dan rakan setugasnya yang sedang membuat rondaan, menjumpai kawasan trek sepanjang 300 meter seperti kawasan laluan lembu yang membawa kepada penemuan sebuah kem.

Beliau ketika itu bertindak melalui trek tersebut untuk melakukan pemeriksaan dan menjumpai beberapa pakaian baju yang ditinggalkan, kasut, dan bekas sebelum membuat laporan kepada pegawai atasannya

Pada pagi 19 Januari 2015, beliau sekali lagi bergerak ke laluan berkenaan dan menemui menara tinjau di atas pokok dipercayai untuk mengawasi pergerakan pihak polis.

Pada petang hari yang sama, Mat bersama sembilan lagi anggota polis bergerak ke kem tersebut untuk melakukan tinjauan dan pemeriksaan.

“Pada ketika itu saya sempat mendengar bunyi seperti mesej masuk ke henpon wanita berkenaan sebelum dia menjerit ‘Polis sampai!’.

“Kesemua mereka sempat melarikan diri kecuali enam orang mangsa bukan warganegara Malaysia yang tidak dapat berjalan dijumpai dikurung dikawasan berpagar duri kawat.

“Arahan yang kami terima waktu itu untuk membuat tinjauan bukan tangkapan. Selepas dengar wanita itu menjerit, baru kami sedar ada orang dalam kem itu,” katanya.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) hari ini telah memulakan Sesi Pendengaran Awam berkenaan perjumpaan penempatan sementara dan kubur yang berlaku di Wang Kelian, Perlis

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai sesi tersebut bersama Timbalannya, Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Norian Mai dan enam lagi ahli-ahli Suruhanjaya RCI.

Dijangka tiga lagi saksi bakal diambil keterangannya untuk hari pertama prosiding.