RCI Wang Kelian: Trek sebenar sudah dikesan dari awal, kata saksi kedua

RCI Wang Kelian: Trek sebenar sudah dikesan dari awal, kata saksi kedua

Saksi kedua, Sarjan Yusof Islam Hassan, 37 selesai memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung penemuan kem sementara dan kubur di Wang Kelian, Perlis.

Beliau yang ketika itu merupakan korporal yang bertugas di Wang Kelian memberitahu bagaimana pada hari pertama membuat rondaan, beliau sudah mula curiga dengan trek laluan tersebut.

Beliau memberitahu para panel bahawa beberapa kali beliau melakukan pemantauan di kawasan denai atau trek tersebut namun tidak menjumpai sebarang kesan aktiviti manusia.

“Dari awal (rondaan) lagi saya nampak trek tersebut, tetapi tiada apa-apa yang mencurigakan,”katanya.

Pada pagi 19 Januari 2015, beliau telah melalui trek bersama Korporal Mat Ten (saksi pertama) sebelum menjumpai menara tinjau di atas pokok dan sempat melihat air sungai yang berbuih sabun.

“Korporal Mat Ten telah bergerak ke hadapan mengikuti anak sungai, dan mendapati ada seorang wanita yang sedang membasuh pakaian.

“Demi keselamatan, kami berdua buat keputusan untuk turun dan melaporkan kepada pegawai atasan. Pada petang hari yang sama, saya bersama sama Mat Ten dan lapan lagi anggota menaiki laluan itu untuk melakukan pemeriksaan.

“Ketika itu saya dibelakang. Apa yang saya dengar, Mat Ten memanggil saya dan mengatakan pendatang asing dah lari,”katanya.

RCI dipengerusikan Tun Arifin Zakaria dan turut dianggotai bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai selaku timbalan pengerusi serta lima anggota RCI yang lain.

Selain itu, pendengaran RCI itu juga dibantu dua pegawai pengendali iaitu Khairul Anuar Abdul Halim dah Saiful Hazmi Mohd. Saad.

Prosiding RCI Wang Kelian  bemula hari ini sehingga  19 April (Jumaat) ini.

Baca: Saksi pertama