Malaysia Dateline

Realisasikan manifesto, tawaran PH Negeri Sembilan antara resolusi diluluskan pada konvensyen DAP

Merealisasikan kesemua janji dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH) Pusat dan Tawaran (Manifesto) PH negeri antara lapan resolusi yang diluluskan pada Konvensyen Tahun DAP Negeri Sembilan yang berlangsung pada Ahad.

Kesemua lapan resolusi itu diluluskan sebulat suara oleh 270 perwakilan selepas ia dibentangkan Setiausaha DAP Negeri Sembilan yang juga Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin.

Resolusi lain ialah menyeru kerajaan supaya mempercepatkan proses penggubalan dasar baharu dan memperbaiki dasar sedia ada supaya ia selaras dengan semangat Malaysia Baharu dan mengutuk sebarang kenyataan serta tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba menyebarkan isu perkauman dan agama yang dikhuatiri akan menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia.

Turut diluluskan ialah menyokong penuh keputusan pimpinan DAP Pusat bahawa pengurniaan pingat dan darjah kebesaran hanya dicadangkan kepada ahli parti yang sudah bersara daripada perkhidmatan sebagai wakil rakyat atau ahli majlis.

Selain daripada itu semua wakil rakyat DAP dan pemegang jawatan awam daripada DAP tidak dibenarkan memohon tanah kerajaan.

Perwakilan juga meluluskan resolusi menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan yang mengubah jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bagi membolehkan negeri ini turut menerima limpahan ekonomi daripada projek mega itu.

Resolusi yang diluluskan termasuk menggesa Peguam Negara atau pihak pendakwa raya supaya menyegerakan proses pertuduhan mereka yang disyaki terbabit skandal mega di bawah pentadbiran dahulu dan menyeru kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mengatasi masalah kedudukan kanak-kanak tanpa kewarganegaraan.

Konvensyen sehari itu dirasmikan Setiausaha Agung DAP yang juga Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan turut dihadiri Pengerusi DAP Negeri Sembilan yang juga Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Pengerusi PH negeri yang juga Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun serta barisan kepimpinan komponen PH negeri.– BERNAMA