Realisasikan mesej Rahmatan Lil Alamin supaya keamanan, kedamaian dirasai semua

Realisasikan mesej Rahmatan Lil Alamin supaya keamanan, kedamaian dirasai semua

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Samad berkata, AMANAH bertanggungjawab memastikan mesej Islam, Rahmatan Lil Alamin direalisasikan, agar keamanan dan kedamaian dihayati dan dirasai semua.

Berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Subang hari ini beliau menjelaskan, keadaan perkauman negara semakin meruncing dan ia perlu ditangani.

Ujar beliau, keadaan itu yercetus bukan disebabkan oleh kerajaan.

“Tanggungjawab kerajaan menekankan perpaduan, memastikan keamanan dan keharmonian.

“… Ketika kita pembangkang dahulu, kita nak kerajaan semakin baik, bersih dan adil. Kita lawan rasuah, penyelewengan, ketirisan dan salah guna kuasa.

“Pembangkang sekarang tidak ada isu, tetapi menimbulkan sentimen perkauman, menanam kebencian dalam kalangan masyarakat , menimbulkan keraguan bahawa Islam dan Melayu terancam,” kata beliau.

Tambah beliau, suasana yang dihadapi kini sangat mencabar dan beliau mengharapkan ahli AMANAH faham dengan jelas bahawa Malaysia adalah negara berbilang kaum dengan pelbagaian agama.

Sehubungan itu katanya, AMANAH perlu kuat. Sangat penting kerajaan Pakatan Harapan (PH) ini dipertahankan untuk membina semula negara ini.

“Kita buktikan kepada rakyat bahawa mereka telah membuat pilihan yang betul menolak kerajaan BN pada PRU14 yang lalu,” kata Menteri Wilayah Persekutuan itu.