Malaysia Dateline

Realisasikan penubuhan Universiti Sukan

Saya terpanggil untuk mengulas isu penubuhan universiti sukan di mana sewaktu Syed Saddiq menjadi menteri belia dan sukan saya pernah menyarankan pada beliau untuk menubuhkan universiti sukan tetapi pada akhirnya impian itu tidak terlaksana kerana beberapa faktor. Namun begitu, Syed Saddiq menggantikan idea tersebut dengan menjalankan kerjasama strategik di beberapa buah universiti sahaja.

Antara universiti terbabit adalah Universiti Malaya, UKM, UTAR, UniKL, UiTM dan beberapa buah universiti yang lain lagi. Kerjasama terbabit antaranya menawarkan syarat kemasukan yang lebih fleksibel kepada atlet dan bekas atlet untuk program yang dipohon, penawaran biasiswa penuh dan separa penuh, pengecualian kredit dalam aktiviti kokurikulum dan fleksibiliti dalam kehadiran kelas buat para atlet negara.

Namun begitu, saya bersetuju seharusnya Malaysia perlu menubuhkan sebuah universiti sukan seperti mana negara-negara lain seperti China, Korea, Jepun, India dan Taiwan. Saya hairan kenapa begitu susah memandangkan cadangan ini pernah disuarakan ketika Konvensyen Sukan Kebangsaan satu ketika dahulu.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Fayshal berkata cadangan tersebut memerlukan kajian dan bukti (evidence-base policy making) malah menurutnya KBS telah menubuhkan Sekretariat Industri Sukan untuk menggiatkan pembinaan ekosistem yang lebih mampan.

Kita pernah menempuhi zaman kegemilangan bola sepak apabila layak ke pentas Olimpik namun begitu hampir 3 dekad kita gagal meletakkan bola sepak negara ke pentas Olimpik malah jauh ketinggalan berbanding negara lain.

Hari ini kita dapat melihat China, Korea Selatan, Thailand yang pernah menjadi mangsa pasukan bola sepak negara satu waktu dahulu hari ini layak ke Sukan Olimpik. Apa yang mereka lakukan sehingga negara mereka mampu melahirkan ramai atlet bertaraf Olimpik jika tidak dengan penubuhan universiti sukan iaitu kilang untuk melahirkan atlet negara.

Negara China contohnya menubuhkan Universiti Sukan Beijing yang melahirkan lebih 70 pemenang pingat emas Sukan Olimpik sejak ditubuhkan pada tahun 1993. Malah China mempunyai beberapa lagi universiti sukan seperti Universiti Sukan Wuhan, Universiti Sukan Tianjin, Universiti Sukan Guangzhou dan beberapa buah universiti yang lain lagi.

Begitu juga dengan Korea Selatan menubuhkan Universiti Sukan Kebangsaan Korea (KSNU) yang ditubuhkan pada tahun 1973 bagi melahirkan atlet cemerlang dan pengkhususan dalam bidang kejurulatihan sukan. Hasilnya negara itu berjaya melahirkan pemenang pingat emas lawan padang, Park Sanyoung di Sukan Olimpik Rio 2016.

Saya berpendapat Menteri Belia dan Sukan, YB Rizal Meerican perlu melihat kajian dari negara lain tentang hasil daripada penubuhan universiti sukan ini. Sudah banyak bukti yang kita dapat lihat hasil daripada penubuhan universiti sukan yang menghalang untuk merealisasikan penubuhan universiti sukan ini hanyalah “political will” sahaja.

Saya berharap idea universiti sukan ini dapat dilaksanakan di Malaysia. Sudah masanya kita melahirkan permata Olimpik negara yang boleh menyumbang pingat emas Olimpik pertama negara.

—————————-
Penulis adalah aktivis politik yang juga bekas bekas atlet olahraga negeri Terengganu.