Realiti harga peguam muda

Oleh NASUHA RAHMAN

Hujung bulan ini, saya akan genap 4 tahun beramal sebagai peguam bela & peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya dan meluncur ke dalam tahun kelima. Syukur kepada Allah kerana terus membantu dan memandu saya dalam bidang ini.

Dalam umur karier yang hampir separuh dekad di dalam bidang ini, isu yang membelenggu profesion berkenaan elaun minima pelatih dalam kamar (peguam dalam latihan), masih berterusan dan membarah.

Saya di antara yang bertuah kerana semenjak zaman pelatih, saya diberikan elaun yang mencukupi dan dimurahkan rezeki dengan gaji yang setimpal dengan kelayakan.

Tetapi lebih ramai lagi rakan-rakan peguam muda yang tidak menerima layanan yang sama. Saya pernah mendengar kisah seorang pelatih di negeri ibu kota negeri Pahang yang hanya menerima elaun RM600 dan firma tersebut tidak menanggung elaun perjalanan mahupun kos-kos pemfailan. Begitulah salah satu daripada banyak lagi contoh eksploitasi yang dihadapi oleh peguam muda.

Untuk konteks pertama, “peguam muda” ini adalah lulusan ijazah sarjana muda undang-undang yang kalau ditanya oleh segenap lapisan masyarakat akan dianggap sebagai lulusan profesional.

Untuk konteks kedua, latihan dalam kamar selama 9 bulan ini adalah wajib bagi membolehkan para peguam muda ini diterima dan didaftarai sebagai peguam bela & peguam cara Mahkamah Tinggi (membolehkan seseorang itu beramal dengan liabiliti penuh dan membuka firma sendiri jika mahu).

Untuk konteks ketiga, latihan dalam kamar tidak sama dengan hubungan perkerjaan. Peguam muda masih dianggap “sedang belajar” daripada ‘Pupil-Master’ sebelum bersedia menjadi peguam penuh. Realitinya, semua peguam muda diberikan kerja yang hampir setara dengan peguam penuh atau sekurang-kurangnya sama berat dengan kerani firma. Peguam muda boleh dihantar untuk menghadiri sebutan kes, diminta membuat penyelidikan, disuruh untuk draf afidavit mahupun hujahan. Terkadang kena bertindakan serentak sebagai kerani, penyambut tetamu dan peon.

Jadi entah bagaimana dan di mana silapnya peguam muda ini kerana masih diberikan elaun rendah yang tidak masuk akal. Kerani di sebuah firma pun lebih tinggi maruah gajinya apabila layak menerima gaji minimum RM1200. Sebab itulah ‘running joke’ yang masih segar dalam kalangan para peguam adalah peguam muda ini lebih rendah tarafnya daripada lipas dalam firma. Kejam tapi itulah realiti yang sedang berlaku.

Saya baru pulang ke Melaka dan beramal di sini pada awal tahun. Dalam segenap interaksi saya, rasanya jarang sekali saya mendengar peguam muda di Melaka ini dibayar elaun RM1,000 ke atas. Biasanya dalam julat ratusan sahaja. Paling rendah RM500 yang pernah saya dengar.

Setiap tahun kita akan mendengar desakan daripada peguam senior supaya graduan baru undang-undang ini menjadi lebih berkualiti, supaya ditambah baik peguasaan bahasa inggerisnya. Kritikan adalah wajar dan para graduan juga bersedia dengan tuntutan semasa itu.

Sayang sekali apabila peguam muda pula yang bersuara berkenaan elaun minima, desakan tersebut biasanya dilayan dengan cemuhan. Ramai yang menyokong tapi tetap ramai juga yang menentang atau berdiam diri dalam penindasan.

Baru-baru ini Young Lawyers Movement mencadangkan skala elaun minima yang rasional. RM2000 bagi firma di Lembah Klang dan RM1200 bagi firm di kawasan lain. Yang diminta hanyalah setara dengan gaji minima nasional. Itupun masih belum boleh dilaksanakan. Peguam tetap terus berperangai peguam. Elaun seminimum itupun tetap mahu dihujahkan untuk dinafikan sehingga ke hujung dunia.

Apa masalahnya? Pertama adalah fahaman bahawa peguam muda ini adalah tenaga kerja murah dan percuma. Berkelayakan seperti seorang peguam tapi boleh dilanyak macam hamba. Boleh diberikan kerja menimbun sehingga tak tidur malam tapi elaun tetap murah. No overtime, no extra allowance. Hanya penindas sahaja akan menghalalkan perbuatan sebegini.

Masalah kedua adalah masalah nostalgia. Antara yang saya suka dengan profesion ini adalah nostalgia pada budayanya. Ada sebab mengapa perlu berpakaian hitam putih, ahli yang lebih senior perlu sentiasa belanja makan yang lebih junior ataupun sentiasa memanggil lawan dengan panggilan rakan terpelajar. TETAPI ada nostalgia dangkal yang berterusan yang perlu dihapuskan. Terlalu ramai peguam yang masih mengenang kemampuan mereka hidup dengan elaun dalam jumlah ratusan sahaja.Tengok sahajalah hujah mereka yang menentang usaha elaun minima ini, mesti akan ada yang mengenang kisah mereka dulu sebagai penguat hujah.

Zaman sudah berlalu, musim sudah berubah. Peguam muda ini kebanyakannya adalah anak harapan keluarga untuk merubah nasib hidup. Elaun yang diterima oleh mereka itulah juga yang akan sampai ke keluarga. Bagaimana nasib nak berubah kalau elaun masih lebih kecil daripada pembantu am dalam firma?

Nota akhir:

Jumlah RM1200 sebulan itu jauh lebih kecil daripada pendapatan sebulan firma. Kalau 9 bulan pun baru sahaja menelan kos RM10,800. Satu fail litigasi dah boleh tanggung elaun 9 bulan peguam muda. Kalau buat conveyancing pun, fi daripada beberapa fail sahaja dah boleh tanggung jumlah tersebut.
Kalau jumlah sekecil itupun firma tidak dapat sediakan, tak perlulah bermimpi untuk mengambil peguam muda. Kalau jumlah RM10,800 pun anda tak boleh sediakan, bermakna anda sendiri tidak cukup ilmu dan ekonomi untuk menjadi ‘Pupil Master’.

Semoga Peguam Muda terbela.