Malaysia Dateline

Realiti malang wanita Sabah tiada dalam kabinet negeri

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepanjang mentadbir Malaysia selama 22 bulan, telah mengangkat wanita ke posisi tinggi dalam pelbagai bidang sebaliknya kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat mengambil langkah ke belakang demikian menurut Ketua Wanita AMANAH Nasional (AWAN) Aiman Athirah Al Jundi.

Beliau berkata, terkini paling buruk adalah apa yang berlaku di Sabah selepas PN mengambil alih pentadbiran negeri, tiada seorang pun wanita dalam Kabinet Kerajaan Negeri.

“Realiti yang sangat malang, pada saat seluruh dunia sedang berlumba-lumba memberi pengiktirafan kepada wanita.

“Dalam satu Mesyuarat Majlis Presiden PH yang terakhir sebelum saya bertugas di PRN16  Sabah, saya telah menyuarakan betapa keanggotaan wanita di dalam Majlis Presiden PH perlu ditambah.

“Wanita tidak semestinya hanya hadir dan mengisi posisi sebagai Ketua Wanita PH,”katanya.

Beliau percaya ramai kepimpinan wanita di dalam PH mempunyai keupayaan untuk diamanahkan menjalankan tugas dalam pelbagai posisi strategik dan penting, selain hanya untuk mewakili wanita.

“Ada seorang anggota mesyuarat yang ‘melenting’ dengan saranan saya, tetapi yang lebih menarik sekali adalah saranan saya telah mendapat respon yang sangat positif daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dan Sdr Lim Guan Eng. Abang Mat, Presiden Amanah memberikan senyuman kepada saya.

“Semua tahu, beliau seorang yang sangat memberi sokongan kepada wanita untuk maju,” katanya.

Athirah turut yakin dan percaya jika PH Plus diberi ruang sekali lagi untuk memimpin Malaysia, keupayaan wanita akan mendapat pengiktirafan yang lebih baik, bahkan lebih baik berbanding rekod 22 bulan yang lepas.

Sebelum ini, Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO) menunjukkan kemarahan dan kekecewaan mereka kerana hakikatnya tidak ada seorang pun Menteri wanita di dalam Kabinet baharu Sabah.

SAWO dalam kenyataannya sebelum ini berkata, mesej yang ingin disampaikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah jelas bahawa mereka menganggap wanita Sabah tidak cukup bagus untuk mendapatkan tempat duduk bagi berbincang bersama pemimpin lelaki bagi mentadbir negeri itu.