Rebel Umno letak calon menentang BN, jika pembangkang tidak sepakat

Rebel Umno letak calon menentang BN, jika pembangkang tidak sepakat

Gabungan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) membayangkan kemungkinan akan meletakkan calon pilihan gerakan itu sekiranya Pakatan Harapan dan Pas tidak sepakat  menetapkan hanya satu calon untuk menentang BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Presidennya Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, asas perjuangan GKCM mahu memastikan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak melepaskan jawatannya.

“Jika orang di sekelilingnya bersama kami dengan mengatakan dia (Najib) perlu turun tetapi dia tetap tidak mahu turun, situasi itu boleh kami terima untuk menyokong calon BN dalam PRK.

“Sebaliknya orang di sekelilingnya tidak bersama kami kerana mereka tidak berani untuk menyatakan pendirian yang sama takanlah, kami nak sokong dia pula untuk membiarkan dia melakukan kemusnahan lagi?

“Sebab itu kami bercadang akan letak ‘calon Umno’ di Kuala Kangsar dan Sungai Besar untuk melawan ‘calon Najib’ dan calon parti pembangkang.

“Jika dua parti tidak boleh bersatu (Pakatan Harapan-Pas) kita dalam Umno sendiri akan letak calon sebenar Umno,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Penaung GKCM pada Sabtu lalu, yang mengesa pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar menumbangkan calon BN dan mengajak Pas, DAP, PKR dan Amanah meletakkan hanya satu calon mewakili pembangkang untuk menentang BN dalam PRK 18 Jun ini.

Kamarul Azman menolak pandangan bahawa bayangan meletakkan calon itu jika berlaku akan dilihat semata-mata untuk memecahkan undi BN dalam dua PRK dan memberi ‘political mileage’ kepada parti pembangkang.

“Kita bukan mahu melawan Umno, tetapi dia meletakkan kita dalam posisi serba salah kerana kita mengharapkan dia berundur, bila dia berundur dah tentu kita sokong calon BN.

“Kita akan tampilkan ‘calon Umno’ yang berjiwa rakyat dan menentang kemungkaran bukan seperti ‘calon Najib’.

“Kita mahu memberi isyarat kepada ketua-ketua bahagian dan pemimpin tertinggi Umno serta konco-konco Najib, bahawa ahli Umno tidak boleh menyokong parti selagi Najib masih di tampuk kuasa.

“Hari ini Umno-BN dilihat sebagai Najib, Najib itu Umno-BN. Ada implikasi jika calon BN menang orang akan kata ini adalah gambaran dan sokongan terhadap Najib.

“Selagi dia tidak turun kita tidak akan menyokong calon yang dipilih kerana calon itu adalah calon Najib bukan calon Umno.

“Calon Najib itu sudah pastinya akan menyokong semua perbuatan salahnya, calon tersebut bukan calon mewakili rakyat. Kita akan cari seorang calon yang benar-benar mewakili rakyat,” terangnya.

Tambah Kamarul Azman lagi, apa yang mungkin akan dilakukan itu kelak demi kelangsungan Umno.

“Bukan satu jaminan BN akan diterima dalam PRU14 akan datang jika BN boleh menang di dua kawasan dalam PRK.

“BN akan kalah sekiranya parti pembangkang pentingkan diri untuk meletakkan calon mereka.

“Jika BN kalah adakah dikalangan ahli Umno terutamanya Ketua-ketua Bahagian mereka sanggup menghadapi nasib yang sama seperti dua calon BN yang kalah itu jika masih bersekongkol dengan presiden parti untuk menghadapi PRU14 kelak?

“Jika BN hilang kuasa bukan mudah kita nak ambil balik,” ujarnya.

1.2 juta tandatangan Deklarasi Rakyat 

Sekretariat Selamatkan Malaysia bersama Tun Dr Mahathir ketika mengumumkan jumlah 1.2 juta  borang Deklarasi Rakyat  yang telah ditandatangani berjaya dikumpulkan.Mengulas kenyataan pemimpin kanan Umno bahawa kejayaan mengumpulkan 1.2 juta tandatangan dalam Deklarasi Rakyat’ sama sekali tidak mewakili 30 juta rakyat atau 15 juta pengundi di negara ini.

Kamarul Azman menegaskan, melihat kepada pencapaian BN dalam PRU13 lalu, BN hanya menang populariti cukup jelas menunjukkan Umno-BN sudah hilang sokongan pengundi sebelum bangkitnya tentangan dari ketua-ketua cawangan.

Beliau mencabar Umno mengemukakan deklarasi sama terhadap 3 juta ahli Umno untuk memastikan ahli benar-benar menyokong kepimpinan Presiden.

“Jika pemimpin Umno berkata rakyat Malaysia ada 30 juta dan 15 juta pengundi berdaftar, mengapa dalam PRU13 BN hampir kalah.

“Saya nak tanya pemimpin dan ahli Umno, kita tidak payah nak kira 15 juta pengundi kerana mereka adalah penyokong parti lain.

“Kita mahu, melihat adakah Najib boleh mengutip 1 juta atau paling kurang pun 500,000 tandatangan untuk menyatakan pendirian 3 juta ahli Umno terhadap Najib.

“Dalam keadaan ahli diugut akan diambil tindakan oleh parti jika terbabit dengan Deklarasi Rakyat, sebaliknya dalam tempoh dua bulan kita telah berjaya mengumpulkan 1.2 juta tandatangan.

“Terkini di Batu Pahat malam Ahad lalu, kita berjaya mengumpulkan 900 tandatangan dalam ceramah anjuran GKCM dan kita akan berterusan mengadakan jelajah di seluruh negara memberi penerangan kepada rakyat sehingga menjelangnya PRU14 kelak.

“Sebab itu rasionalnya kenyataan Tun Mahathir dengan mengalahkan BN dalam dua PRK kelak, tujuannya memungkinkan ahli Umno-BN akan buka mata untuk melihat ada sesuatu yang tidak kena dengan kepimpinan Najib hari ini bukan untuk ‘membunuh’ Umno-BN.

“Di kalangan pemimpin dan ahli Umno yang masih menyokong kepimpinan Najib itulah yang sebenarnya akan ‘membunuh’ Umno-BN. Tun Mahathir dan kami hanya mahu menyelamatkan Umno daripada cengkaman Najib,” tegasnya.

 

TAGS