Malaysia Dateline

Rebut segmen pengundi sama, Muhyiddin bimbang ‘ditelan’ hidup-hidup

Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Abbas Azmi mendakwa, keadaan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika ini mempunyai sokongan tipis di Dewan Rakyat menjadi faktor beberapa pimpinan Tertinggi Umno lantang mendesak agar beliau membubarkan Parlimen.

Abbas berkata, Umno merasakan nasib mereka akan lebih baik dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kerana yakin dengan formula Muafakat Nasional (MN) untuk memenanginya.

Namun, soalnya, mampukah Muhyiddin membubarkan Parlimen yang dianggap akan menyebabkan Presiden Bersatu dan partinya itu ditelan hidup-hidup oleh MN dan Pakatan Harapan (PH).

“Perpecahan Bersatu antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin menyebabkan Muhyiddin sendiri berada dalam keadaan yang tenat.

“Malah hala tuju beliau sebagai Presiden parti sangat kabur dan tidak kelihatan bagaimana beliau mampu mengurus perpecahan itu.

“Beliau sedar Umno dan Pas mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu mengetepikan beliau dan partinya jika berlaku pilihanraya,” ujarnya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Dalam masa sama, Abbas menyifatkan keadaan politik Muhyiddin yang semakin tenggelam itu telah menyebabkan Pas juga merasakan mereka mampu memenangi pilihan raya jika diadakan.

Katanya, cengkaman politik Muhyiddin dilihat tidak sekuat Umno dan Pas yang memungkinkan Bersatu tidak berjaya memenangi hati pengundi Melayu.

Berbanding dengan Pengerusi Bersatu yang dipertikaikan jawatannya, Abbas berkata, Tun Dr Mahathir pula sememangnya mempunyai kekuatan sokongan akar umbi dari kaum Melayu.

Namun, kata bekas Ketua Pemuda AMANAH Selangor itu, PH pula hanya mendapat sokongan kuat daripada orang bukan Melayu sahaja apabila Mahathir dipecat keanggotaannya dalam Bersatu.

“Muhyiddin terpaksa berpaut kuat dengan sokongan Ahli Parlimen Pas dan Umno pada ketika ini.

“Walaupun dia seorang Perdana Menteri tetapi partinya sendiri bernuansakan Melayu masih gagal mendapatkan sokongan kuat dari orang Melayu sendiri,” ujarnya.

Merebut sokongan

Mengulas lanjut, Abbas berkata, merebut sokongan segmen yang sama iaitu Melayu Islam di dalam Perikatan Nasional (PN) adalah cabaran besar buat Bersatu.

Malah, Muhyiddin juga sedar tidak mungkin Umno dan Pas akan memberi laluan kepada kerusi-kerusi milik mereka disebabkan dendam Umno kepada Ahli Parlimen Pagoh itu kerana bersama PH menggulingkan Umno.

“Maka apa yang Muhyiddin terpaksa buat sekarang ialah cuba mempertahankan kerajaan PN ini sehingga Bersatu betul-betul kuat atau sekurang-kurangnya sehingga tamat penggal ini.

“Jika membubarkan Parlimen dan berlaku pilihan raya, Muhyiddin akan dikenang sebagai Perdana Menteri yang terpendek dalam sejarah Malaysia kerana tewas dalam pilihan raya.

“Maka jalan terbaik yang dirasakan perlu diambil Muhyiddin ialah dia kembali kepada pangkuan Umno.

“Setidak-tidaknya jika Pilihanraya nanti, beliau boleh menumpang populariti Umno dan Pas,” ujar Abbas lagi.