Recep Erdogan: Adakah kemelut ekonomi akan mengancam kuasanya?

Recep Erdogan: Adakah kemelut ekonomi akan mengancam kuasanya?

Baru-baru ini Presiden Recep Tayyip Erdogan telah memenangi pilihanraya umum di Turki dengan jumlah undian sebanyak hampir 53 peratus. Ini bermakna beliau akan terus memerintah Turki dengan kuasa yang bertambah. Kemenangan beliau adalah satu kejayaan politik yang hebat kerana kini beliau telah memerintah Turki selama 15 tahun. Pihak-pihak yang tidak sukakan beliau agak ramai. Namun mereka telah gagal menggulingkan beliau sama ada secara ganas atau secara aman.

Apakah faktor kejayaan politik Erdogan? Soalan ini sebenarnya tidak mudah dijawab kerana terdapat berbagai-bagai faktor yang terlibat. Di samping itu faktor-faktor tersebut adalah dinamik dan berubah-ubah kerana Turki adalah sebuah negara yang ramai penduduk serta mempunyai sejarah yang sangat lama. Bahkan Khilafah Uthmaniyyah Turki pernah seketika dahulu adalah sebuah empayar yang luas dan berpengaruh dan menjajah sebahagian dari benua Eropah serta hampir kesemua tanah-tanah Arab.

Namun Khilafah Uthmaniyyah akhirnya telah jatuh akibat masalah kewangan kerana pemimpinnya telah gagal mentadbir kewangan kerajaan. Hutang kerajaan Uthmaniyyah yang begitu banyak kepada syarikat kewangan dan kerajaan Eropah telah gagal dibayar beberapa kali dan ini telah mengakibatkan kuasa politik kerajaan menjadi lemah sehinggakan tugas mengutip cukai kerajaan terpaksa diserahkan kepada syarikat kewangan Eropah.

Kekecewaan dengan keadaan ini membuat golongan `Young Turks’ bangkit dan menggulingkan Sultan Khilafah Uthmaniyyah yang terakhir dan setelah itu tamatlah era Khilafah tersebut pada tahun 1924 yang digantikan dengan pemerintahan yang sekular di bawah pimpinan Kamal Attaturk.

Erdogan sebenarnya adalah dari kalangan yang memandang tinggi era Khilafah Uthmaniyyah. Ramai dari penyokong beliau adalah dari kalangan yang mahukan dunia Islam kembali kuat. Sikap Erdogan yang `Islamis’ membuat beliau sangat popular di kalangan kumpulan rakyat, terutama dari kalangan luar bandar, yang mahu melihat masyarakat Turki menjadi lebih Islamik. Sebaliknya yang membenci Erdogan adalah kebanyakannya dari golongan elit yang sekular yang bimbangkan kemungkinan Erdogan akan membawa balik Turki ke era `Khilafah Uthmaniyyah’ yang dirasakan adalah kolot dan mundur serta penuh dengan aspek yang anti-demokrasi.

Tetapi Erdogan tetap berjaya mengekalkan populariti beliau. Salah satu sebab ialah rakyat sangat sangsi dengan golongan sekular yang memerintah sebelum ini yang terkenal dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa. Di samping itu Erdogan juga menjadi popular kerana berjaya menyekat golongan tentera merampas kuasa secara ganas dua tahun lepas dengan bantuan rakyat yang sanggup berkorban untuk beliau.

Kekejaman golongan tentera masih kuat dalam ingatan rakyat Turki kerana pihak tenteralah yang pada tahun 1961 telah menghukum gantung sehingga mati Adnan Menderes, bekas perdana menteri Turki yang agak Islamis serta dua menteri kanan beliau.

Namun kuasa dan populariti politik Erdogan mungkin akan tercabar juga di masa akan datang kerana Turki akan bakal menghadapi kemelut ekonomi yang agak serius. Salah satu kelemahan Erdogan ialah kegagalan beliau memahami bahaya industri hutang dan sistem Riba. Dalam usaha mencari populariti, beliau telah melaksanakan dasar pertumbuhan ekonomi yang cepat.

Akibatnya di bawah pemerintahan beliau Turki telah mengalami keadaan purata pertumbuhan ekonomi yang agak baik. Ekonomi negara tersebut telah mengalami purata pertumbuhan sebanyak 4.86 peratus dari tahun 1999 sehingga 2018. Bahkan Turki pernah mengalami kadar pertumbuhan sebanyak 11.70 peratus pada suku pertama 2011.

Namun apa yang tidak disedari oleh Erdogan ialah di dalam sistem ekonom berasaskan amalan Riba dan di mana industri hutang terus berkembang, sebarang pertumbuhan ekonomi akan juga bermakna jumlah hutang di kalangan rakyat jelata dan sektor korporat akan melonjak. Tambahan pula Erdogan telah menggalakkan pertumbuhan ini dengan memberi tekanan bank pusat Turki menurunkan kadar bunga. Beliau menyangka bahawa oleh kerana agama Islam mengharamkan Riba, maka kadar bunga yang tinggi adalah sangat tidak baik sementara kadar bunga yang rendah atau menghampiri sifar adalah sesuatu yang baik.

Sebenarnya apa yang bahaya ialah kewujudan industri hutang itu sendiri dan bukan kadar bunga yang tinggi semata-mata. Ini kerana apabila kadar bunga menjadi rendah bahaya industri hutang akan meningkat naik akibat dari bertambahnya golongan yang akan berasa mampu untuk berhutang dari syarikat perbankan dan institusi kewangan yang lain. Namun pertumbuhan ekonomi yang akan berlaku akibat dari aktiviti penggunaan dana hutang ini tidak akan kekal lama.

Bahkan akibat dari jumlah hutang yang banyak, krisis kewangan akan bakal berlaku seperti yang telah berlaku di banyak negara termasuk Jepun pada tahun 1989, Korea dan beberapa negara Asia Tenggara pada tahun 1997, Argentina pada tahun 2001, Amerika Syarikat pada tahun 2008, dan beberapa negara Eropah pada tahun-tahun 2009.

Sekarang ini jumlah hutang di dalam negara Turki semenjak Erdogan memerintah semakin tinggi. Sebagai contoh hutang sektor swasta berbanding KNK meningkat naik ke 170.80 peratus pada tahun 2016 berbanding hanya 159.40 peratus pada tahun 2015. Hutang isi rumah berbanding KNK negara pada tahun 2004 adalah bawah 5 peratus sahaja. Pada tahun 2017 ia telah meningkat menjadi lebih dari 17 peratus.

Dari aspek hutang luar pula, jumlah nya telah meningkat menjadi USD 466.6 bilion berbanding hanya USD 43. 9 bilion pada tahun 1989. Cuma hutang sektor awam sahaja yang telah dapat dikawal iaitu hanya 28.30 peratus berbanding KNK pada thun 2017 berbanding 76.10 peratus pada tahun 2001.

Hutang dari sektor swasta yang tinggi bermakna industri hutang atau perbankan telah mencipta wang dengan banyak dan akibatnya ialah kadar inflasi di Turki adalah amat tinggi. Pada bulan Jun tahun ini, kadar inflasi Turki ialah 15.39 peratus dan ini adalah jauh lebih tinggi dari tahap yang ingin dicapai oleh bank pusat Turki iaitu 5 peratus. Bahkan purata kadar inflasi di Turki antara 1965 dan 2018 ialah 35.18 peratus. Keadaan inflasi ini bertambah teruk kerana nilai matawangnya iaitu Lira telah jatuh menjunam berbanding Dolar Amerika dan adalah di kalangan matawang yang paling lemah di dunia.

Semua angka-angka di atas adalah sepatutnya sangat merungsingkan kepada penyokong Erdogan, sama ada di dalam atau di luar Turki. Namun ramai yang masih tidak sedar akan keadaan ini. Jika Erdogan masih berusaha untuk melonjakkan ekonomi Turki dengan mengalakkan perkembangan sektor swasta, maka tahap hutang akan menjadi teruk lagi dan kemungkinan besar akan berlaku satu krisis kewangan di negara tersebut dalam masa terdekat.

Reaksi kepada kemelut ekonomi Turki akan bergantung kepada reaksi rakyat dan kerajaan. Jika bertambah golongan rakyat yang berasa tidak puas hati dengan keadaan ekonomi Turki, kedudukan Erdogan dan partinya iaitu AKP mungkin akan terjejas. Kita akan tunggu dan lihat apakah reaksi kerajaan Turki di bawah Erdogan terhadap pihak-pihak yang menentang beliau.

Tetapi tren beberapa tahun lepas menunjukkan beliau semakin tegas dan keras terhadap rakyat yang menentang beliau, terutama jika mereka disyaki dari kalangan Gulenis. Tetapi Erdogan perlu sedar risiko tindakan demikian kerana kejatuhan Adnan Menderes, bekas perdana menteri Turki pada tahun 1960 dahulu setelah digulingkan oleh tentera adalah susulan dari tindakan Adan Menderes bersikap keras terhadap pengkritik-pengkritik beliau juga.

Sama samalah kita berdoa semoga Erdogan dan kerajaan beliau akan mampu menyelesaikan masalah ekonomi negara Turki dan rakyat Turki akan dapat hidup dengan bahagia di dalam suasana yang demokratik dan adil.

*Penulis  adalah Ketua Biro Penyelidikan IKRAM

CATEGORIES
TAGS