Malaysia Dateline

Reform segera perlantikan dalam GLC

Seharusnya ada reformasi dan perubahan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan agensi kerajaan khususnya melibatkan pelantikan dan tangga gaji.

Malahan pelantikan mereka yang akan menunjangi organisasi tersebut seharusnya dipertanggungjawabkan kepada mereka yang layak dari aspek akademik dan pengalaman.

Demikian disarankan oleh Pengarah Komunikasi AMANAH Negeri Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Tegasnya, sebagai contoh doktor perubatan adalah tidak layak untuk memegang portfolio membabitkan nelayan maupun ikan ataupun LKIM.

“Antara reform yang boleh dilaksanakan ialah gaji CEO atau Ketua Pegawai Eksekutif GLC dan agensi kerajaan harus dipinda dengan mengembangkan definisi penjawat awam itu membabitkan perkhidmatan awam termasuklah melibatkan GLC dan agensi kerajaan.

“Sekaligus tangga gaji hakiki GLC dan agensi kerajaan diselaraskan dengan penjawat awam yang lain atau dalam lain ertikata, tiadalah gaji CEO GLC dan agensi kerajaan yang mencecah sehingga ratusan ribu ringgit sebulan.

“Perlakuan ini sebetulnya sudah menjadi rutin dan amalan terlalu lama berakar umbi sebagai proksi politik orang-orang politik dan ia harus diperbetulkan,” ujar beliau.

Tambahnya, lebih parah lagi apabila lantikan GLC berkaitan Sains dan Inovasi, kemudian dilantik pula sebagai perunding untuk membeli vaksin dengan komisen super lumayan.

Sejajar dengan itu saran beliau, apa yang diperkatakan oleh Presiden AMANAH membabitkan GLC semasa ucapan Presiden semasa Konvensyen AMANAH Nasional amat tepat dan dipersetujui serta perlu didokong.