Malaysia Dateline

Reform sistem pendidikan, tumpu pembangunan insaniah

Kerajaan wajar memulakan proses reformasi sistem pendidikan yang bersifat menyeluruh dari akar umbi sehinggalah ke peringkat atasan bagi memastikan bukan proses reform separuh masak.

AJK Biro Pendidikan Dan Dakwah AMANAH Nasional Syazmir Haris Noorazlan berkata, sudah tiba masanya kerajaan memulakan proses ini secara holistik melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perpaduan, agensi Agama Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri serta agensi-agensi berkaitan.

Ini kerana katanya, kejadian buli dalam kalangan pelajar dengan aksi yang ganas dan berbahaya amat mendukacitakan kerana ia menggambarkan norma masyarakat hari ini semakin membarah dengan isu buli.

“Saya selaku AJK Biro Pendidikan & Perubahan Masyarakat AMANAH Nasional terkejut melihat video buli yang sedang viral di Sosial Media.

“Dari kes kematian pelatih IPT awam sehinggalah kejadian buli di peringkat sekolah menengah dan rendah membuktikan bahawa anasir buli telah mencengkam anak bangsa kita,” kata beliau kepada Malaysia Dateline.

Katanya, dengan hanya reform sistem pendidikan di peringkat akar umbi hanya menggagalkan usaha ini kerana faktor kemenjadian anak bangsa bukan hanya pada pendidikan, namun melibatkan faktor persekitaran, oleh itu, semua kementerian yang berkaitan perlu memulakan usaha ini.

Katanya, ia bagi memastikan arah tuju reform pendidikan itu berpaksikan pembangunan insaniah kerana isu buli menggambarkan anak bangsa miskin kasih sayang dan pembangunan diri.

Selain itu, katanya reform pendidikan itu mestilah mampu membasmi kemiskinan jangka pendek dan panjang.

“Faktor kemisikinan mungkin menjadi isu yang menekan anak bangsa sehingga mereka terpaksa melakukan aktiviti yang tidak bermoral.

“Sudah tiba masanya kerajaan memulakan reform pendidikan demi memastikan masa depan anak bangsa terbela,” kata beliau.

Isu buli dalam kalangan pelajar semakin menjadi-jadi seolah-olah tidak serik dengan kejadian sebelum ini sehingga menyebabkan kematian.

Terkini enam pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dilaporkan telah digantung persekolahan kerana terlibat dalam insiden buli menyebabkan seorang mangsa dimasukkan ke hospital mengalami kecederaan tisu lembut akibat ditumbuk.