Malaysia Dateline

Reformasi kerajaan PH tidak abaikan golongan B40

Perubahan yang sedang direncanakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak meminggirkan keperluan golongan B40 dan lepasan universiti.

Namun begitu keseriusan untuk membela nasib golongan tersebut harus dilakukan dengan teliti dan bersungguh-sungguh supaya nasib mereka benar-benar mendapat pembelaan.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Cabang PKR Bagan, Alan Oh, selepas meraikan ibu tunggal Seberang Perai Utara.

Malah katanya lagi, beberapa polisi bagi meningkatkan pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan tersebut mesti dilaksanakan secara serius.

“Kerajaan boleh menyediakan bantuan berbentuk insentif bagi golongan yang bekerja sendiri khususnya golongan muda serta lepasan universiti.

“Selain itu, latihan teknikal dan vokasional melalui TVET 4.0 perlu dilipatgandakan serta mereke yang dihasilkan melalui program ini mendapat pekerjaan tanpa menunggu masa yang lebih lama.

“Manakala koperasi atau pun institusi kewangan boleh mewujudkan polisi atau geran untuk usahawan muda dengan mempermudahkan cara tanpa banyak birokrasi, ” ujarnya lagi.

Menurut Alan lagi, kerajaan PH harus dapat meyakinkan golongan muda bahawa tenaga kerja mereka amat diperlukan termasuklah dikalangan lepasan sekolah dan juga universiti.

Maka itu jelasnya, lambakan graduan yang dihasilkan setiap tahun mestilah disediakan peluang pekerjaan agar tidak timbul lagi isu pengangguran yang melampau dikalangan graduan universiti.

“Adalah suatu kerugian apabila idea, kemahiran, kebolehan dan kemampuan graduan berpotensi dalam pelbagai jurusan yang dilahirkan tidak langsung dapat dimanfaatkan setelah mereka tidak mendapat sebarang pekerjaan.

“Sehubungan itu disarankan beberapa kaedah dan solusi diambil termasuklah menilai semula had umur persaraan 60 tahun yang telah diperkenalkan sebelum ini diturunkan semula seperti dahulu iaitu antara 55 hingga 56 tahun.

“Dengan reformasi ini tidak dapat dinafikan isu pengangguran dikalangan lepasan universiti serta lepasan sekolah dapat diatasi, ” tegas Alan lagi.

Tambahnya, gaji minima yang diperkenalkan oleh kerajaan PH sebanyak RM1100 menyerlahkan lagi kebolehlaksanaan pentadbiran, namun begitu percambahan pelaburan asing dengan pembukaan industri dipelbagai lokasi amat diperlukan bagi memastikan peluang pekerjaan dapat diwujudkan.

Justeru itu katanya, kerajaan PH harus membuktikan kepada rakyat khususnya golongan B40 bahawa nasib mereka tetap mendapat pembelaan jika dibandingkan semasa zaman BN dahulu melalui pelbagai polisi baru yang mampu mengurangkan kadar pengangguran.