Malaysia Dateline

Reformasi PdP: Professor UKM akui mahasiswa hadapi tekanan mental, emosi

Professor Dr. Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin berkata tekanan mental dan emosi dalam kalangan mahasiswa adalah nyata dan benar dan ia bukan sesuatu yang sengaja diada-adakan oleh mereka.

Menurutnya, seorang mahasiswa dikehendaki menyiapkan pelbagai tugasan akademik yang diminta oleh setiap pensyarah bagi setiap kursus atau modul yang diambil mereka.

“Bayangkan seorang mahasiswa mengambil di antara 5 hingga 6 kursus setiap semester dan setiap kursus ini menuntut pula mahasiswa menyiapkan tugasan akademik hampir setiap minggu.

“Ini tidak lagi mengambilkira aktiviti pembentangan tugasan di depan pensyarah secara maya, pembikinan video untuk tugasan serta aktiviti projek penyelidikan yang memerlukan tumpuan yang penuh.

“Tidak lagi diambilkira masa yang perlu diluangkan oleh mahasiswa bagi menghadiri kuliah secara dalam talian hampir sepanjang hari,” katanya.

Katanua, rata-rata mahasiswa di IPTA yang berada di dalam kategori B40 mampu untuk mendepani cabaran yang begitu getir dewasa ini.

“Mana mungkin pada ketika perut menggelodak kelaparan, ibu ayah dan adik beradik juga berada di dalam kesempitan, mahasiswa mampu untuk terus fokus di dalam pengajian? soalnya yang juga Pensyarah Farmasi di UKM.

Katanya, isu PdP ini harus dilihat secara yang lebih holistik dan bukan lagi sekadar melihat dari aspek teknikal semata-mata.

“Reformasi PdP mesti merangkumi aspek sosio-ekonomi, infrastruktur, kemanusiaan dan juga ihsan.

“Elemen kemanusiaan dan juga ihsan ini semakin lama dipinggirkan. Sudah tiba masanya para pendidik membuka mata dan memberi ruang yang lebih luas berhubung perkara ini agar matlamat negara menghasilkan graduan yang holistik dan berdayasaing dapat dijelmakan menerusi rekabentuk acuan yang betul.

“Kita tidak mahu mahasiswa semakin terpinggir tanpa kita sedari hanya kerana kita berbangga telah berjaya melaksanakan PdP secara dalam talian sebagaimana negara-negara maju yang lain sedangkan kejayaan melaksanakan PdP itu sendiri masih diselubungi dengan pelbagai kemusykilan,” ujar beliau dalam kenyataan.

Hari ini negara dikejutkan dengan berita yang amat mendukacitakan di mana dua mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah meninggal dunia dikatakan berpunca dari tekanan mental dan emosi kesan dari proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian yang berpanjangan.

Dua mahasiswa berkenaan adalah Allahyarham Muhammad Adham Hazim bin Mohd Rizani dari UiTM Cawangan Pahang dan Allahyarhamah Nurul Natasya Ezreen binti Azemi dari UiTM Cawangan Kedah.

Kedua-dua mahasiswa malang ini dikatakan telah mengalami tekanan akibat tidak mampu menguasai kaedah PdP dalam talian dan terpaksa pula berdepan dengan cabaran memenuhi keperluan pengajian termasuklah penghantaran pelbagai tugasan akademik, peperiksaan secara dalam talian serta pembentangan projek yang berterusan.

“Walaupun agak sukar untuk dikaitkan kematian kedua-dua mahasiswa ini berpunca dari tekanan PdP dalam talian namun rata-rata mahasiswa UiTM telah berkongsi pandangan membangkitkan perkara ini dengan menciap di Twitter sehinggakan tanda pagar #uitm menjadi sohor kini semalam.

“Bukanlah menjadi rahsia dalam kalangan pensyarah di institusi pengajian tinggi bahawa acap kali didapati berlaku keciciran mahasiswa sewaktu PdP dalam talian dilaksanakan.

“Ini sudah tentu berpunca dari pelbagai faktor termasuk berkaitan isu peranti, talian internet yang tidak mudah dicapai, kelajuan internet yang tidak memadai, kos internet yang masih tinggi dan masalah keluarga serta beban kewangan yang perlu difikirkan juga oleh mereka,” katanya.