Malaysia Dateline

Reformasi peladang bukan retorik, banyak usaha sedang dilaksana

Pertubuhan Peladang (PP) mempunyai 920,000 ahli di seluruh negara. Pada 1 November ini kita akan melancarkan kempen 1 juta ahli Peladang, dengan sasaran utama adalah penyertaan 30 peratus golongan muda.

Mereka aset penting yang bakal mewarnai pembangunan peladang. Keahlian secara atas talian diperkenalkan buat pertama kali, bagi memudahkan penyertaan orang ramai seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kita telah pun selesai mengadakan Simposium PeladangNita. PeladangNita mempunyai 300,000 ahli dan 50,000 adalah dalam kategori usahawan. Suatu kertas sedang disiapkan untuk mereformasikan PeladangNita agar peranan mereka lebih besar dan menyerlah.

Kertas pemerkasaan Unit Peladang juga sedang disediakan. PP mempunyai 7,400 Unit Peladang di seluruh negara. Projek pertanian di akar umbi mesti disediakan dan dibantu.

Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) telah bersetuju untuk membesarkan skop Yayasan Pelajaran NAFAS kepada Yayasan Peladang yang objektifnya adalah menjaga kebajikan peladang dan kakitangan LPP di semua peringkat.

Sebagai bukti, November ini akan dilancarkan projek tahun kedua, ‘Kembali Ke Sekolah 2020’ dengan sasaran 100 orang anak peladang (asnaf) di setiap 279 PPK. Mereka diberi persalinan sekolah dengan nilai sekurang-kurangnya RM100 seorang, untuk sesi persekolahan 2020. Anak-anak staf Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang layak, turut dibantu sama.

Mesyuarat Agung Tahunan di 279 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) hampir selesai sepenuhnya. Melalui PPK, ada lima orang lantikan Menteri. Dalam erti kata lain ada 1,395 Ahli Jemaah Pengarah PPK lantikan menteri. Disusuli Mesyuarat Agung Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) di 14 PPN tidak lama lagi.

Kita ada lima orang lantikan Menteri termasuk seorang kuota dari kementerian. Kemuncaknya adalah Mesyuarat agung NAFAS pada hujung tahun ini. Tahniah kepada mereka yang mendapat kepercayaan di PPK khususnya yang dipilih sebagai pengerusi AJP PPK.

Ketika ini, siri jelajah dan taklimat kepada semua PPK sedang dilakukan melalui negeri masing-masing. Kita mahu dasar-dasar Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam konteks pertanian dapat diterjemahkan hingga ke akar umbi.

Kemuncaknya, Konvensyen Peladang Kebangsaan, di mana pesertanya terdiri dari AJP dan Pengurus Besar sama ada dipilih mahupun lantikan menteri dari PPN dan PPK seluruh negara akan dihimpunkan bagi mendengar amanat penting Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

My Green Team yang asalnya Kelab Pertanian Sekolah, telah dijenamakan semula. Geran dan bimbingan diberi kepada 300 buah sekolah dan institusi pendidikan lain pada 2020 yang mana tahun-tahun sebelum ini hanya sekitar 50 buah sekolah sahaja.

Ini dapat dijayakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Ia adalah bagi memastikan pelajar sekolahyang merupakan golongan remaja didedahkan lebih awal kepada dunia pertanian.

Pendekatan meremajakan peladang melalui modul dan teknologi akan menjadi antara pilihan dan kerjaya orang muda yang memberi pulangan lumayan.

Kolaborasi tiga agensi iaitu LPP, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui Bazar Peduli Rakyat, antara usaha terkini bagi menangani kos sara hidup rakyat.

Inisiatif tersebut akan diperluaskan ke seluruh negara dan sekerap mungkin agar rakyat iaitu pengguna menikmati harga lebih rendah.

Agro pelancongan yang selama ini tidak termasuk dalam core business, akan diberi fokus utama. Di negara maju, ia menjadi antara sumber pendapatan utama negara.

Sebahagian besar liputan PPK boleh dibangunkan melalui agro pelancongan. Cameron Highlands, Pulau Tioman, Kundasang, Fraser Hill, Pulau Pangkor; bahkan banyak kawasan pertanian dikunjungi pelancong dalam dan luar negara.

Sawah padi dengan tarikannya, ladang durian musang king ada peminatnya dan beratus kawasan lain yang ada tarikan tersendiri.

Pulau Langkawi sedang dibangunkan melalui padi pulut. Tidak lama lagi estet kelapa pandan seluas 50 hekter akan dimajukan berkonsepkan agro pelancongan. Potensinya cukup besar.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020, LPP akan melancarkan pakej pelancongan di destinasi terpilih melalui agensi pelancongan dan promosi.

Menyahut seruan Perdana Menteri ketika merasmikan Konvensyen Padi Kebangsaan 2019 di Alor Star baru-baru ini, kawasan estet padi sedia ada di bawah PPK akan disemak semula bagi mempastikan adakah ia benar-benar mencapai objektif penubuhannya.

Bahkan, kawasan estet baharu bakal diteroka dengan matlamat yang jelas, meningkatkan pendapatan pesawah melalui teknologi moden.

Pembabitan sektor swasta bagi mempercepatkan pertumbuhan pembangunan berskala besar seperti Halatuju MOA yang diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada Februari lalu, memang dalam perancangan.

Ia bukan bersifat pro kapitalis seperti dakwaan sesetengah pihak; namun sumbangan dan kolaborasi semua pihak termasuk golongan pemodal teramat penting dalam melonjakkan aktiviti pertanian.

Apatah lagi import makanan hampir 60 bilion setahun, ia harus diimbangi dengan projek tanaman berskala besar bagi tujuan eksport dimana potensinya terbuka luas.

Selain tabung K3P, TPUP, Agropreneur Muda, rakan strategik Agrobank bersedia untuk membantu para usahawan dalam banyak aspek. Bahkan, rayuan telah dibuat kepada MOA, agar pembiayaan dalam bentuk pinjaman dan geran dapat ditingkatkan, agar lebih ramai para usahawan dan yang berminat terlibat secara langsung dalam pertanian dapat dibantu.

Bagi LPP, Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 seperti pengumuman PM, tepat pada masanya.

Pada 4 September lalu, saya mengetuai rombongan pegawai kanan LPP membuat kunjungan hormat kepada Menteri Besar Kedah.

LPP telah memilih Parlimen Baling sebagai model projek membasmi kemiskinan. Persiapan dan perancangan sedang dibuat, pelancarannya akan dilakukan hujung tahun ini, InshaAllah.

Kolaborasi dengan Felda melalui projek tanaman kontan yang hasilnya cepat dituai dan sumber kekayaan baharu seperti nenas dan durian sedang digerakkan.

Terlalu banyak usaha melalui perancangan berstrategik boleh dibuat. Reformasi peladang bukan retorik. Segala ruang dan peluang ada di depan mata. Kuasa telah ada di tangan. Usah berlengah lagi. Kita mampu lakukannya.

 

* Penulis merupakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang(LPP).