Reformasi pendidikan satu bentuk Rahmatan Lil Alamin

Reformasi pendidikan satu bentuk Rahmatan Lil Alamin

Sejarah politik kampus kerap mempamerkan para mahasiswa tidak seiring dengan dasar kerajaan. Ini menyebabkan mahasiswa dan mahasiswi sering ditekan oleh kerajaan sebelum ini.

Undang-undang yang paling popular sering digunakan untuk mahasiswa yang ialah Akta Universiti Dan Kolej Universiti 1971 (AUKU)

Akta ini yang umumnya dibuat untuk menghalang penglibatan pelajar bersama parti politik, kesatuan sekerja dan penggabungan antara badan-badan pelajar.

Walaupun secara sekilas pandang ia seperti memberikan kebaikan kerana menghalang pelajar daripada terlibat dengan politik dan menjadi lebih agresif, namun dari sudut keadilan, ianya menzalimi mereka dengan mengongkong kebebasan dan hak asasi mereka.

Mahasiswa sering dibelenggu dengan tidak membenarkan mereka terlibat dengan apa juga aktiviti politik di luar kampus malah ramai antara mereka yang dikenakan tindakan kerana terlibat atas alasan terlibat dengan aktiviti yang bertentangan dengan AUKU.

Jawatankuasa Tatatertib Universiti di bawah AUKU bukan sahaja berkeupayaan untuk menyiasat dan mendakwa pelajar yang didapati bersalah, namun juga berkuasa untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh.

Mengapa ianya menjadi isu?

Pertamanya kerana mereka yang didapati bersalah tidak akan dibenarkan untuk mendapatkan khidmat pembelaan dari peguamcara mahupun peguambela bagi kes mereka.

Sedangkan bagi kakitangan universiti termasuk pensyarah yang turut didakwa atas suatu pertuduhan tatatertib, mereka dibenarkan untuk diwakili oleh seorang peguam berdasarkan peruntukan di dalam Statutory Bodies (Discipline and Surcharge) Act 2000.

Diskriminasi ini adalah bertentangan dengan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan manakala penafian hak untuk diwakili oleh seorang peguam (right to counsel) adalah melanggar Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.

Keduanya, mereka yang terlibat dalam dalam Jawatankuasa Tatatertib perbicaraan ini ialah dari mereka yang terlibat dalam pentadbiran universiti itu sendiri.

Jadi sudah tentu akan adanya ketidakadilan kerana ketiadaan timbang tara dalam memberi hukuman kepada pelajar yang didakwa bersalah sedangkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak sama rata di sisi undang-undang dan hak sama rata untuk mendapat perlindungan undang-undang.

Oleh itu, hasrat Menteri Pendidikan iaitu Dr. Maszlee Malik mahu membentuk Jawatankuasa Pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), ianya satu bentuk pembaharuan yang baik dalam dunia pendidikan Malaysia.

Lebih menarik lagi, jawatankuasa ini juga akan melibatkan mahasiswa. Ini ialah satu bentuk pengiktirafan kepada mahasiswa yang keupayaan mereka tidak boleh diperkecilkan dan buah fikir mereka sangat-sangat diperlukan di era Malaysia Baharu.

Kita perlu akui, betapa ramainya tokoh-tokoh Negara yang hebat lahir dari gerakan mahasiswa di universiti seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Anuar Tahir dan lain-lain. Oleh itu, kita tidak mahu akibat daripada undang-undang AUKU yang zalim ini membantutkan perkembangan mahasiswa kita di Malaysia dari memberikan khidmat mulia buat Negara.

Saya berharap di era Malaysia Baharu, reformasi pendidikan dapat memberikan jutaan manfaat kepada mahasiswa di universiti, selaras dengan slogan Rahmaran Lil Alamin, yang bukan sahaja sesuatu perkara itu dapat dinikmati sesetengah golongan, tapi keseluruhan rakyat Negara ini dapat merasainya, termasuk mahasiswa.

* Mohd Sofi Abdul Wahab adalah Timbalan Pengerusi AMANAH Melaka dan Adun Durian Tunggal