Malaysia Dateline

Reformasi sistem harus dipercepat, kurangkan pertelingkahan kabilah

Sebagaimana yang diduga, pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencetuskan pertikaian hangat.

Banyak yang diperbincangkan, dari personaliti peguam yang terkenal dengan kelantangannya, pelantikan politik Perdana Menteri yang bercanggahan dengan manifesto Pakatan Harapan, hinggalah pertembungan kabilah politik antara Mahathir Mohamad dengan Anwar Ibrahim, malah dalam Parti Keadilan Rakyat sendiri.

Perbahasan itu boleh berlanjutan tanpa penghujung, mencungkil ramalan politik yang pelbagai. Mereka yang menyebelahi Dr Mahathir mempertahankan keputusan beliau kerana ia sememangnya kuasa Perdana Menteri, malah mempersoalkan dari sudut sebaliknya, bukankah ia semak-imbang yang paling berkesan apabila tampuk kuasa tertinggi diserahkan kepada Anwar tidak lama lagi?

Mereka yang memihak kepada Anwar pula mempertikaikan motif di sebalik pelantikan ini, setelah menyaksikan kelantangan Latheefa Koya mengkritik Anwar sepanjang tempoh setahun kebelakangan.

Malah ada yang membangkitkan janji reformasi sistem yang tidak ditunaikan, kerana akhirnya kuasa pelantikan jawatan yang penting ini kekal berada dalam genggaman perdana menteri.

Apapun, situasi menjadi ironi apabila terdapat ahli dewan rakyat yang menggesa rakyat untuk menandatangani petisyen atas talian, mendesak agar Latheefa Koya meletakkan jawatan.

Hakikatnya, kuasa pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM sememangnya berada di tangan PM selagi tiada pindaan akta bahkan perlembagaan sedia ada. Persoalannya, jikalau benar ahli dewan rakyat bersungguh-sungguh untuk menggerakkan reformasi sistem sebagaimana yang dijanjikan, apakah yang telah dilakukan mereka sepanjang setahun lalu?

Cuba kita mengimbas semula apa yang dijanjikan PH dalam Buku Harapan, “Jawatan-jawatan penting dalam negara seperti pelantikan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman Malaysia, mestilah disahkan oleh jawatankuasa yang bersesuaian di peringkat parlimen. Ini akan mengurangkan kebolehan Perdana Menteri untuk campur tangan dalam pelantikan-pelantikan penting tersebut.”

Cukup cantik dan molek tawaran manifesto ini. Namun, perkara ini melibatkan peruntukan kuasa untuk parlimen, yang sudah tentu perlu dihalusi sedalam-dalamnya.

Seandainya kuasa pelantikan ini diperuntukkan kepada parlimen, apakah mekanismenya? Sejauh manakah keterlibatan pembangkang? Sejauh manakah lingkungan kuasanya? Apakah institusi-institusi yang terlibat?

Namun, perbincangan ini jarang-jarang kedengaran dalam tempoh setahun yang lalu. Itu pun belum lagi pindaan akta bagi institusi-institusi yang terlibat. Ia memerlukan susunan kerja yang rapi, selangkah demi selangkah ke arah matlamatnya, bukan sekadar slogan dan retorik, lebih-lebih lagi apabila situasi tidak memihak kepada kepentingan diri.

Hakikatnya, perbahasan hari ini tidak seharusnya terbatas kepada “sama ada Mahathir ikhlas untuk menjana reformasi sistem” (kerana sememangnya kita tidak mengetahuinya), sebaliknya “sejauh manakah kita mampu merungkaikan Mahathirisme”.

Antara kelemahan Pakatan Harapan selepas 9 Mei 2018 adalah kegagalan untuk mengetengahkan idea alternatif sebagai pengganti “Mahathirisme”.

Ketidakupayaan inilah yang menambat langkah reformasi, sehingga sering terikut-ikut dengan rentak Mahathir.

Jikalau “Malaysia Baru” mahu dimaknai dengan pendemokrasian yang matang, kita akan menyaksikan pemansuhan atau pindaan akta yang drakonian sepanjang setahun yang lalu. Walaupun kelihatan amat tidak adil, tetapi apakah ia salah sepenuhnya apabila sesetengah penganalisis politik melontarkan pandangan bahawa prestasi PH sebenarnya sifar, jikalau dinilai dari segi reformasi sistem?

Buktinya, tiada akta yang menyekat kebebasan bersuara dipinda sepanjang tahun pertama pemerintahan PH.

Bukan sahaja reformasi sistem politik, malah dalam bidang pembangunan ekonomi misalnya, kita masih dihantui mitos bahawa pembangunan itu adalah pemodenan, malah lebih ketara, pembangunan disamakan dengan pembinaan bangunan baru. Tiada kemajuan tanpa pembangunan. Bangunan lama dianggap mundur, dan perlu “diperbaharui” dan “dipermodenkan” agar menjadi simbol kekuatan Melayu.

Dalam kerangka sebegini, kita mudah terheret dengan langkah golongan pemaju. Namun, tidakkah terlintas dalam otak kita, apakah ciri-ciri tradisi yang tersirat di sebalik “kampung”, yang mungkin tidak berharga, tetapi tidak ternilai untuk kita? Ia semestinya lebih daripada sekadar “tanah pemilikan Melayu”, tetapi sejauh manakah budaya, roh dan jiwa Melayu yang masih dimiliki dan mampu diwarisi di atas tanah tersebut?

Sebenarnya itu cabaran Malaysia Baru. Daripada mempertikaikan siapa dilantik, kepentingan siapa yang terbela, lebih baik kita memikirkan satu agenda besar yang menyeluruh – untuk memaknai Malaysia Baru.

Hakikatnya, PH terikut-ikut dengan rentak Umno-Pas-Isma, sehingga gagal mengetengahkan agenda tersendiri. Kebanyakan masanya kita terjerat dalam pertikaian kaum, agama, sehingga terlepas pandang agenda rombakan sistem politik, dan melakar wawasan bersama.

Akhirnya kita berbalik kepada pergelutan kabilah politik, terikut-ikut dengan langkah musuh yang meniup sentimen perkauman, dan melupakan perubahan yang ingin dilaksanakan ketika menumbangkan Barisan Nasional pada 9 Mei 2018.