Malaysia Dateline

Reformasikan industri hiburan negara

Industri hiburan negara perlu diperkasakan supaya segala permasalahan berkaitan kebajikan yang membabitkan golongan artis akan dapat ditangani secara lebih menyeluruh.

Pengarah dan pelakon ternama, Datuk Afdlin Shauki berkata suatu anjakan perlu dilakukan di dalam industri hiburan dengan diterajui oleh kepimpinan yang lebih cenderung dalam bidang hiburan negara sekaligus memastikan kelancaran pentadbiran agensi dan memperkasa industri hiburan tanah air dapat dilaksanakan.

“Sesuatu perlu dilakukan untuk membantu industri seni menjadi lebih kuat dan ada ‘protection’ (perlindungan) oleh orang yang faham tentang industri hiburan.

“Kalau ada orang memahami industri duduk di tempat (sepatutnya) itu lebih cepat dan lebih banyak kerja yang akan dilakukan untuk membuat reformasi untuk industri,” katanya dalam program Kerusi Hangat yang disiarkan di Youtube.

Jelasnya, penglibatan dirinya dalam industri hiburan selama 30 tahun tidak menyaksikan banyak perubahan yang telah dilakukan oleh pihak kerajaan sebelum-sebelum ini untuk memajukan industri ini.

Dalam pada itu, Afdlin turut menjawab persoalan yang diajukan warganet mengenai pandangan peribadinya tentang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Daripada kaca matanya, Anwar mempunyai ciri-ciri pemimpin yang menghargai seni.

“Saya rasa rakyat boleh lihat siapa Anwar Ibrahim apabila beliau menggalas tugas sebagai Perdana Menteri dan tengoklah bagaimana tegas dan sabarnya beliau.

“Seseorang yang berkarisma yang saya rasa boleh membawa negara kita ke suatu arah kebaikan kerana idea-ideanya serta hubungannya dengan negara luar dapat dipergunakan untuk memperbaiki negara kita,” katanya lagi.

Baca juga Cuepacs puji bantuan khas kerajaan kepada penjawat awam