Regim 61 tahun Umno-BN lebih baik daripada pemerintahan 6 bulan PH?

 

Ahmad Lutfi OthmanSudah lumrah bagi pembangkang untuk mencari kelemahan dan kesalahan kerajaan, biar sekecil mana pun, sebagai modal politik mencari pengaruh.

Ada orang menyifatkannya bagai menangguk di air keruh. Segalanya mahu dimanipulasi, atau mengambil kesempatan untuk kepentingan sendiri. Label negatif pun dilemparkan bagi memudahkan persepsi awam dibentuk.

Secara peribadi, saya mengalu-alukan kritikan, teguran hatta kecaman keras, daripada pembangkang, NGO serta termasuk gerakan mahasiswa kepada kerajaan Pakatan Harapan sekarang. Dr Mahathir Mohamad sejak awal menerima hakikat, suatu kelaziman bagi mana-mana seteru politik mencari kelemahan pihak lawan, termasuk mencipta label negatif dan buruk.

Dalam keadaan banyak janji-janji manifesto PRU14 tidak tertunai, malah berubah-ubah pendirian kerajaan, misalnya mengenai pembayaran balik PTPTN, maka sudah dijangka reaksi negatif rakyat, khususnya graduan yang terbeban dengan gaji yang kecil.

Begitu juga tentang pemansuhan tol, harga minyak, menurunkan kos sara hidup, bantuan kepada pesawah-nelayan-penoreh, peluang pekerjaan, kemudahan kesihatan dan sebagainya.

Rakyat mahu melihat dan merasai dasar serta program kerajaan baharu yang memberi impak positif dalam kehidupan seharian. Sesuatu yang dekat-rapat dengan mereka; apakah pemansuhan GST dan memperkenalkan semula SST memberi nilai tambah kepada pendapatan mereka yang tidak berubah?

Sebenarnya elemen pembaharuan yang tidak nampak jelas dan serta-merta kesannya pada mata kasar, telah banyak diusahakan. Misalnya pengukuhan instutusi strategik negara, mengembalikan sistem perkhidmatan awam yang berintegriti dan bebas politik, program memerangi korupsi, memulihkan kebebasan media, menjelaskan doktrin pemisahan kuasa, mengurangkan kuasa perdana menteri, memperkasa jabatan peguam negara, badan kehakiman yang independen, suara rakyat dihormati dan banyak lagi.

Serentak masa yang sama, pencuri dana awam, perasuah, pelaku pecah amanah menunggu giliran untuk dibicarakan. Mekanisme atau prosedur salahguna kuasa yang membabitkan berbilion wang rakyat terbongkar. Tekad yang serius untuk mengembalikan wang yang dicuri ke dalam kantung negara.

Bagi saya, pendedahan amalan terkutuk regim yang ditumbangkan itu perlu digiatkan lagi. Rasuah adalah jenayah paling sukar dibuktikan dan masih ramai warga yang tidak sensitif dan peka dengan kejahatan ini. Malah penjenayah rasuah, di kalangan ahli politik, yang terbukti salah oleh mahkamah tetap dianggap wira, mungkin kerana telah banyak membantu orang ramai di waktu berkuasa.

Langkah reformasi institusi dan suntikan rasa kelegaan di era Malaysia Baharu ini, pada hemat saya, boleh diberikan penghargaan. Sistem ketatanegaraan juga di atas landasan yang betul.

Rakyat tidak lagi diserkup budaya takut. Cengkaman mentaliti hamba sedang dirongkai. Berbeda pendapat bukan lagi satu kesalahan. Tiada lagi pukulan belantan, tembakan gas pemedih mata, semburan air gatal untuk menyuraikan demonstrasi aman. Akta-akta drakonian dalam proses pemansuhan tetapi anda tidak akan ditangkap hanya kerana lantang bersuara dan mengatur tunjuk perasaan.

Maka, di sana sini, parti pembangkang dan golongan pendesak bebas berhimpun dan meluahkan amarah, termasuk dalam isu-isu yang dianggap sensitif. Harapnya Akta Hasutan yang belum dimansuh atau dipinda itu, tidak digunakan untuk mendiamkan kritikan.

Sebagai penyokong Pakatan Harapan, saya langsung tidak terusik dengan segala bantahan dan provokasi itu. Pemerintah mesti diperiksa dan diteropong bagi menghindari salahguna kuasa. Malah kuasa harus dilimitkan. Kerajaan memerlukan maklum balas, pro dan kontra, yang cepat daripada rakyat. Justeru media bebas amat membantu untuk menyalurkan rasa tidak puas hati masyarakat.

Cuma, saya tak nampak justifikasi ungkapan yang sering digunakan, iaitu “PH lebih teruk dan lebih kejam daripada BN”. Memang banyak janji belum tertunai, dasar dan program baru belum terserlah, keperitan hidup rakyat belum terbela, prestasi menteri tidak mencapai target. Tetapi kerangka pembaharuan negara, saya kira, adalah atas landasan yang betul, kerosakan regim lama ditangani dengan serius, dan masa-peluang wajar diberikan. Good governance atau tadbir urus yang baik adalah sasaran yang mahu dicapai.

Boleh saja teruskan teguran, hatta pembantaian, dan kita memang perlukan mekanisme semak-imbang, tetapi saya yakin kalimah “PH lebih teruk dan kejam daripada BN” adalah keterlaluan. Itu pemikiran bebal dan simplistik. Saya teringin sekali mendengar hujah dan fakta yang menyokong kalimah itu.

Apakah segala isu yang menggugat negara selama ini tidak dianggap jenayah terburuk, seperti skandal mega 1MDB, korupsi peringkat tertinggi termasuk dalam GLC dan badan-badan amanah, gaya hidup super mewah pembesar dan isteri, ketirisan melampau dana awam serta kebocoran subsidi, juga kaedah pembiayaan politik bersumberkan wang pembayar cukai.

Jika Umno enggan mengakui dosa sendiri, itu dapat difahami. Tetapi bagaimana dengan sikap sama Pas, yang turut menganggap prestasi enam bulan PH lebih buruk daripada pemerintahan Umno-BN selama enam dekad? Bukan pula mengharapkan Pas memuji langkah PH kerana ia juga sebuah parti pembangkang. Hamburlah kritikan dan bangkangan atas kelemahan yang ada; mengapa mahu dibandingkan dengan rekod buruk kerajaan terdahulu, yang mereput dari kepala sampai ke ekor?

Mungkin ada pihak memberi respons awal, hak orang Melayu-Islam semakin terhakis. Banyak posisi penting dan strategik diisi oleh bukan Islam. Institusi Raja Melayu dikritik dan dipersenda. Bahasa kebangsaan luntur martabatnya. Dana untuk aktiviti Islam dikurangkan. Kontroversi Icerd juga dikemukakan sebagai bukti terbaru PH sengaja “menjolok sarang tebuan”. Ia memang mudah meraih sokongan apabila sentimen kaum dan sensitiviti agama digunakan. Rasional pembuktian tidak diperlukan apabila semangat berkobar-kobar meledak. Angka berkaitan Belanjawan 2019 juga ditafsirkan menurut kehendak sendiri.

PM sendiri mengakui masih banyak pertimbangan perlu dibuat sebelum kerajaan memutuskan pendirian terhadap Icerd. Dan tambah Dr Mahathir, hampir mustahil untuk melaksanakan Icerd. Bakal PM, Anwar Ibrahim juga menekankan soal keresahan dan kerungsingan rakyat mesti ditangani dahulu. AMANAH dan Bersatu telah mengeluarkan kenyataan menolaknya meskipun bersetuju dengan prinsip asas menolak diskriminasi atas nama kaum.

Sesungguhnya, walaupun politik baharu dikatakan mendapat tempat seawal 1999, namun amalan praktis siyasah usang tetap mengakar. Cabaran besar buat pembaharu yang mendukung kesederhanaan, memerangi ekstremisme, memupuk toleransi dan permuafakatan, menolak fanatisme.

Penekanan yang saya ingin fokuskan adalah, sementara pengkritik terus mencari-cari alasan untuk merendah-rendahkan kerajaan … ya, teruskan … tetapi menyamakan, malah mendakwa pemerintah sekarang lebih teruk dan kejam daripada Umno-BN, bagi saya, langsung tidak mempunyai rasional yang kuat. Ia sekadar frasa cliche untuk menyerang kerajaan PH dengan mengocak sentimen agama. Apakah mahu mengatakan regim korup-kleptokrat 61 tahun lebih baik berbanding 6 bulan pemerintahan PH?

Sebaik Umno-BN tumbang, pembangkang tidak henti-henti menggunakan isu-isu kaum dan agama. Kebetulan ahli Parlimen kerajaan yang beragama Islam kurang sedikit berbanding MP Pakatan yang non-Muslim. Maka dakyah bahawa DAP yang dikatakan mendominasi kerajaan terus berleluasa walaupun tohmahan itu tidak berasas. Anggota Kabinet daripada DAP hampir sama sahaja dengan wakil komponen PH yang lain, termasuk AMANAH. Perdana Menteri sejak awal menekankan bahawa semua parti dilayan sebagai equal partner. Malangnya ada pula anggota kerajaan yang terjebak dengan turut sama “bermain api”.

Justeru, saya bukan sahaja sokong pendedahan salahguna kuasa kerajaan terdahulu, tetapi mahu segala amalan korupsi dan pecah amanah itu dibongkar secara mendalam. Biar imiginasi rakyat mudah menangkap kebobrokan berantai atau korupsi berjemaah yang berlaku. Sekurang-kurangnya biar tersingkap bagaimana agensi atau institusi berkaitan orang Melayu diuruskan selama ini, seperti Felda, Mara, Tabung Haji. Masih ramai yang kelabu mata untuk fahami kebusukan hanyir yang ditinggalkan Umno-BN ini.

Harus ada penjelasan dan pencerahan yang terperinci serta boleh difahami dengan senang atas jenayah merompak-mencuri khazanah negara itu.

Kita juga masih menunggu skandal di peringkat kerajaan negeri terungkap sama. Kebetulan semasa menonton FB Live Konvensyen AMANAH Negeri Johor baru-baru ini, saya tertarik ucapan Menteri Besar yang mendedahkan kepincangan kewangan kerajaan BN terdahulu. Ia berkaitan tabung pembinaan rumah mampu milik. Memang skalanya jauh lebih kecil daripada 1MDB tetapi tetap perlu dibongkar kerana mengkhianati amanah rakyat.

Benar, segala tohmahan dan serangan pembangkang tidak berupaya dilunakkan. Sehingga PRU15, mereka akan menyusun asakan bertali-arus bagi merebut kuasa.

PH memikul tanggungjawab berat untuk memenangi hati dan minda rakyat selepas mandat diperolehi. Majoriti dapat memahami kekangan besar kerajaan baharu, asalkan pemimpin bekerja kuat dan ikhlas. Mereka boleh menerima kekurangan dari segi pengalaman anggota pentadbiran, dengan syarat cepat belajar dan berjiwa besar membawa perubahan.

Sebenarnya tiada pengalaman itu juga merupakan satu kelebihan kerana tidak terpalit dengan sebarang kecurangan lampau. Begitu juga dengan bekalan idealisme perjuangan yang dipupuk semasa pembangkang dahulu sebagai pemangkin usaha reformasi struktural yang amat diperlukan. Ditindas sewaktu lama menjadi oposisi memberi pengajaran agar tidak berlaku zalim ketika berkuasa.

Biarkan Umno-Pas berpadu dan berpakat, dengan segala kecaman dan tohmahan yang ditujukan kepada kerajaan. Mereka selesa menikmati iklim segar kebebasan akhbar, apatah lagi dua harian utama, masih memberi ruang untuk suara berbeda daripada PH. Di bawah Malaysia Baharu kita dituntut lebih terbuka dengan pandangan berlawanan.

Hakikatnya, rakyat bukan sahaja berani-bijak menurunkan regim korup dan kleptokrat dalam PFU14 tetapi juga bersedia membuat penilaian matang terhadap prestasi kerajaan.