Malaysia Dateline

Regim ganas Israel ancam mahu kuasai Baitul Maqdis

Laporan media asing berhubung pencerobohan tentera Israel serta pendatang haram yahudi yang melakukan serangan ke atas rakyat Palestin dan para jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa, dipaparkan dalam situasi seolah-olah umat Islam menguasai kawasan masjid dan menjadi hak Israel untuk menuntutnya.

Ini bukanlah kali pertama ia berlaku dan kejadian tercetus ini berikutan perluasan wilayah penjajahan Israel ke atas kawasan kejiranan Baitu Maqdis.

Apa yang berlaku sekarang memperlihatkan wajah hodoh regim haram Zionis, wajah kefanatikan, rasisme dan rancangan penaklukan secara menyeluruh oleh peneroka haram ke atas Baitul Maqdis.

Bahkan regim Zionis bukanlah sebuah kerajaan haram tetapi ialah regim peneroka haram yang mahukan penguasaan penuh ke atas wilayah Palestin dan menjadikan Baitul Maqdis sebagai ibu negara politik dan agamanya untuk memenuhi impian gagasan Israel Raya.

Bahkan perkembangan yang berlaku ini juga menunjukkan ketiadaan kepimpinan yang boleh diharapkan mewakili penduduk Palestin. 

Ini kesan daripada Perjanjian Oslo yang membenarkan wilayah Palestin dijajahi di samping kegagalan negara Arab mempertahankan hak umat Palestin di Baitul Maqdis iaitu kiblat pertama umat Islam dan masjid suci ketiga selepas kota Mekah dan Madinah.

Tetapi penentangan akan terus berlaku, mungkin dalam kalangan yang tidak dijangkakan.

Penentangan boleh diambil dalam banyak bentuk:

Undang-undang, boikot, demontrasi, penentangan di jalanan dan seumpamanya, dan senarainya tidak berkesudahan.

Namun bebannya seperti kecederaan serius akan tertimpa kepada rakyat bukan kerajaan.

Isu ini tercetus apabila regim haram Zionis merancang mengusir sejumlah keluarga Palestin daripada rumah leluhur mereka yang kini dituntut oleh peneroka Yahudi di kawasan kejiranan Sheikh Jarrah Baitul Maqdis Timur.

Mahkamah Tinggi Israel dijangka akan memutuskan nasib keluarga-keluarga ini yang menentang usaha menghalau mereka dairpada rumah tempat tinggal tradisi di kawasan kejiranan tersebut.

Kawasan ini menjadi medan konfrantasi terutamanya pada bulan yang mulia ini antara penduduk Palestin dan polis Israel serta peneroka haram Yahudi.

Di samping itu pihak berkuasa Israel juga merancang mengadakan perarakan al-Quds sebagai memperingati apa yang Israel kenali sebagai Hari Baitul Maqdis.

Ramai warga haram Yahudi merayakan sambutan Hari Baitul Maqdis ini yang menandakan kemenangan mereka menguasai Baitul Maqdis.

Perarakan seperti ini tentu akan menyalakan ketegangan di Baitul Maqdis kerana ia merupakan provokasi yang ingin dicetuskan supaya jika penduduk Palestin bertindak, pihak berkuasa akan menuduh mereka sebagai pencetus kekacauan.

Ini merupakan usaha-usaha terancang regim haram mengambil alih Masjid Al Aqsa dan seluruh kawasan suci Haram iaitu al-Sharif di Baitul Maqdis.

Ia merupakan rancangan menamatkan penguasaan ke atas kawasan Baitul Maqdis.

Kejadian yang berlaku ini juga merupakan tanda kesedaran Israel bahawa hak masa depan Baitul Maqdis adalah di tangan mereka dan bukan lagi berada di bawah naungan kepimpinan Palestin, penduduknya, Arab, Turki, negara Islam atau penduduk Islam sejagat.

Inilah yang membawa penentangan daripada penduduk Palestin ketika berhadapan dengan tindakan keras pihak berkuasa Israel.

Mereka mengadakan bantahan aman menentang kekejaman Zionis.

Mereka berkumpul dalam jumlah yang besar di kawasan masjid Al Aqsa.

Media antarabangsa melaporkan lebih kurang 90,000 sertai solat tarawih dan ini menunjukkan bahawa mereka tidak akan tunduk kepada tekanan regim Zionis.

Pihak berkuasa Israel juga telah melancarkan kempen menahan semula mereka yang dibebaskan dalam usaha meningkatkan serangan ke atas rakyat Palestin.

Namun kempen ini gagal menakutkan penduduk Palestin yang menentang dengan melindungi rumah-rumah mereka daripada tangkapan dibuat semula.

Pada Ahad lepas, selepas solat subuh, konfrantasi antara penduduk Palestin dengan pihak berkuasa Israel mengakibatkan ramai yang tercedera.

Sejak awal Ramadan lagi, regim haram Zionis ini telah mengetatkan langkah-langkah tekanan ke atas penduduk Palestin di kawasan sekitar Masjid Al Aqsa

Ini terbukti apabila kumpulan pelampau kanan Yahudi yang didukungi oleh pihak polis menghalang warga Palestin daripada menunaikan solat yang terang melanggar hak asasi manusia.

Penduduk Palestin dilarang menunaikan solat dan majlis ramadan.

Tetapi pelampau Yahudi pula dibenarkan merayau-rayau di jalan-jalan di Baitul Maqdis dengan melaungkan slogan-slogan rasis seperti “Mati orang Arab” iaitu sesuatu yang menaikkan kemarahan penduduk Palestin.

Tentunya provokasi tersebut mencetuskan serangan balas, sesuatu yang dijangkakan pihak berkuasa Israel.

Resolusi 194 of Disember 1948 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menggesa kepada kembalinya pelarian ke tanah air mereka menyatakan: “tempat-tempat suci, bangunan dan tapak keagamaan di Palestin haus dilindungi dan membuka capaian bebas sejajar dengan amalan hak asasi.”

Konvensyan The Hague 1954 untuk melindungi pemilikan budaya sekiranya berlaku konflik bersenjata telah menyatakan: pihak terlibat seharusnya melarang, mencegah dan jika perlu menghentikan sebarang bentuk kecurian, rampasan atau salah guna dan tindakan vandalisme terhadap pemilikan budaya.

Mereka tidak menghiraukannya dan melakukannya dengan penuh sedar bahawa ia terang-terangan melangggar undang-undang antarabangsa.

Terdapat kumpulan-kumpulan pelampau peneroka haram yang semakin mendesak penguasan ke atas Masjid Al Aqsa. 

Mereka beralasan bahawa mereka juga berhak berada di kawasan masjid.

Inilah juga yang merupakan manipulasi liputan media Barat yang seolah-olah memperlihatkan umat Islam Palestin menguasai kawasan masjid Al Aqsa itu

Kumpulan pelampau dalam kalangan peneroka ini mahukan masjid Al Aqsa dimusnah supaya dapat membina tempat peribadatan Yahudi mereka.

Ramai percaya bahawa provokasi ganas akan membawa kepada situasi yang diperlukan untuk merealiti visi Israel Raya itu.

Jika usaha-usaha serius ini terus dilakukan dan yang tidak seharus dipandang ringan oleh negara Islam, kejayaannya akan mengakibatkan malapetaka serius kepada geopolitik Timur Tengah dan dunia Islam.

______________________________

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)