Malaysia Dateline

Rehatkan Azam Baki, buat siasatan terhadap dakwaan

Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) berpendapat peletakan jawatan bekas ahli panel Perunding dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dr Edmund Terrence Gomez amat mengejutkan dan membimbangkan.

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin berkata, sikap sambil lewa panel perundingan tersebut yang tidak mendesak atau mengadakan mesyuarat terhadap dakwaan kepada ketua SPRM menimbulkan keraguan dan spekulasi, sekaligus menimbulkan kesangsian terhadap
organisasi yang ditugaskan untuk mencegah rasuah.

“Tuntutan ini perlu diberi keutamaan bagi menyiasat dakwaan salah laku Ketua SPRM,
Azam Baki. Beliau juga sepatutnya direhatkan daripada tugas bagi memberi laluan kepada
siasatan yang harus disegarakan.

“Inilah satu-satunya cara bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai terhadap organisasi itu sekali gus menunjukan bahawa wujudnya sistem semak dan imbang yang baik dalam organisasi kerajaan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Gomez dalam surat letak jawatannya yang tular di media sosial berkata, timbul persoalan mengenai ‘hubungan antara perniagaan dan pihak penguat kuasa’ dan situasi ‘konflik kepentingan’ membabitkan pegawai tinggi SPRM serta dakwaan bahawa pegawai itu memiliki saham.

Menurut ahli ekonomi itu, bekas pegawai tinggi SPRM didakwa terbabit dalam situasi konflik kepentingan, sekali gus mencadangkan ‘ada suatu trend di institusi itu (SPRM) yang mesti disiasat segera’.

Mengulas lanjut, Ulya Aqamah berkata, tugas utama SPRM adalah utuk membasmi rasuah dan melindungi pemberi maklumat yang mengambil risiko untuk mendedahkan maklumat walaupun salah laku itu berlaku di dalam ‘kelambu’ sendiri.

“Sekiranya, SPRM tidak lagi boleh dipercayai, kepada siapa rakyat harus meletakkan tanggungjawab ini?

“Kami desak supaya diadakan mesyuarat segera dan serta-merta memulakan siasatan
terhadap Azam Baki bagi mengembalikan nama baik SPRM.

“Di negara kita, mereka yang serius ingin memerangi rasuah, dipaksa untuk meletakkan
jawatan, manakala mereka yang didakwa masih mengetuai Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia,” jelasnya.

Tambahnya, bekas Perdana Menteri yang didapati bersalah pula masih bebas berkeliaran malah hadir ke persidangan memberi ucaptama.

“Inilah yang terjadi kepada negara kita. Semoga Allah membantu Malaysia,” katanya lagi.

Terdahulu, Najib Razak dijemput untuk berucap di Forum Ekonomi China Sedunia 2021 (WCEF).