Malaysia Dateline

Rekod harian tertinggi 7,049 kes sembuh Covid-19

Di sebalik peningkatan tiga hari berturut-turut kes baharu Covid-19, sebanyak 7,049 kes sembuh dilaporkan hari ini.

Rekod itu merupakan kes sembuh harian tertinggi sejak pandemik itu melanda Malaysia tahun lalu.

Angka tersebut menjadikan jumlah keseluruhan sembuh sebanyak 508,947 kes iaitu 85.5 peratus.

Sementara itu, jumlah korban akibat Covid-19 kini sudah melepasi 3,000 kes apabila berlaku pertambahan 103 kes kematian hari ini.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, jumlah maut mencecah 3,096 orang iaitu mewakili 0.52 peratus.

Daripada 103 kes kematian hari ini, 26 kes berlaku di Selangor diikuti Kuala Lumpur (15), Johor (14), masing-masing lapan kes di Sarawak dan Kelantan dan Sabah 7 kes.

Selain itu, masing-masing enam kes di Negeri Sembilan dan Terengganu, masing-masing empat kes di Pulau Pinang dan Kedah, masing-masing dua kes di Melaka dan Pahang, serta satu kes di Perak.

Dalam tempoh 24 jam juga, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 terus meningkat kepada 83,331 kes berbanding 82,274 kes semalam.

Pertambahan 1.3 peratus kes aktif itu juga menyaksikan seramai 880 pesakit sedang
dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 446 daripadanya memerlukan bantuan alat pernafasan.