Malaysia Dateline

Rekod perjuangan Adly, Izham terbukti

AMANAH Selangor menyambut baik pelantikan Adly Zahari sebagai Naib Presiden dan Izham Hashim sebagai Bendahari Agung parti.

Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata pelantikan tersebut membuktikan AMANAH akan terus relevan dalam landskap politik negara.

“Kedua-dua pemimpin ini bukan sahaja berwibawa sebagai generasi kedua pimpinan AMANAH, malah mempunyai rekod perjuangan yang terbukti sejak awal penubuhan parti di samping latarbelakang organisasi yang sangat meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Adly merupakan Pengerusi AMANAH Melaka dan Ketua Menteri Melaka ke-11 yang telah mentadbir negeri tersebut dengan sangat cemerlang.

“YB Izham Hashim pula adalah Pengerusi AMANAH Selangor dan kini merupakan Exco kanan Kerajaan Negeri Selangor yang merupakan negeri termaju di Malaysia.

“Saya percaya bahawa pelantikan kedua-dua tokoh ini akan terus memacu AMANAH terus ke hadapan dalam mendepani politik arus perdana negara,” kata Wan Anwar lagi.

Terdahulu, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dalam satu kenyataan memaklumkan pelantikan Adly, 50, bagi mengisi kekosongan jawatan Naib Presiden yang sebelum ini dipegang oleh Datuk Husam Musa.

Dalam masa sama, AMANAH turut melantik Izham, 59, sebagai Bendahari Agung parti menggantikan Adly.