Malaysia Dateline

Rekod tertinggi, 869 kes baharu babitkan penularan tempatan

Jumlah kes positif COVID-19 hari ini mencatatkan rekod tertinggi iaitu sebanyak 869 kes baharu di mana kesemuanya adalah kes jangkitan tempatan.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) peningkatan kes baharu ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 19,627 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 6,886 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Daripada 869 kes penularan di dalam negara, 745 kes adalah warganegara Malaysia dan 124 kes adalah bukan warganegara.

Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, empat (4) kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 adalah
sebanyak 441 kes.

Sehingga kini, terdapat 91 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat (4) kes kematian berkaitan COVID-19.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 180 kes.