Remaja 14 tahun selamatkan rakan kena renjatan terima pingat Hang Tuah, wang RM5,000

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang remaja berusia 14 tahun dianugerahkan Pingat Hang Tuah, semalam atas keberaniannya menyelamatkan rakan yang terkena renjatan elektrik pada 2 Oktober lalu.

Remaja terbabit, Muhammad Asri Rosli berkata bahawa anugerah yang diterima sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Kebangsaan 2024 itu disambut dengan perasaan teruja, gembira dan terharu yang bercampur-baur.

Muhammad Asri ketika menceritakan semula apa yang telah berlaku memaklumkan ketika kejadian, dirinya sedang bermain sepak takraw bersama rakan di sekolah mereka di Bukit Beruntung, Selangor.

Namun ketika mahu mengambil bola, Muhammad Asri ternampak mangsa sedang memegang besi di dalam keadaan bergetar dipercayai akibat terkena renjatan elektrik, lapor Berita Harian.

“Masa saya dan rakan nak ambil bola, saya nampak dia memegang besi dalam keadaan bergetar. Saya tarik dia beberapa kali sebelum tangannya terlepas daripada besi.

“Saya terus peluk dia dan rasakan ada aliran elektrik pada badannya. Saya terus bawa dia ke bilik guru pendidikan jasmani,” kata remaja berkenaan memetik laporan Berita Harian.

Muhammad Asri berkata sedemikian ketika ditemui pihak media di dalam Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Ibu kepada Muhammad Asri iaitu Zuraini Harun mengakui merasa bangga dengan tindakan anak keenam dari lapan beradik itu selain mendedahkan penerima anugerah Hang Tuah terbabit merupakan kanak-kanak yang bijak.

“Dia lahir kembar tiga. Dalam mereka bertiga, memang nampak dia paling banyak mengalah dan bijak. Apa yang dia buat (menyelamatkan rakan) amat membanggakan kami sekeluarga,” kata ibu berusia 49 tahun yang bekerja sebagai tukang cuci itu.

Muhammad Asri selaku penerima penganugerahan Pingat Hang Tuah itu turut membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, sijil penghargaan dan juga trofi.

Sekadar info, Majlis Sambutan Hari Kanak-Kanak 2024 ini dirasmikan oleh isteri Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. 

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri; Timbalannya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; serta Pengerusi Majlis Perwakilan Kanak-Kanak, Daniel Haqeem Darul Hafiz.

Baca juga: Data dedah individu bukan penerima STR paling ramai liat bayar PTPTN