Remaja bekas penagih akan didedahkan tentang pentingnya mengundi

Remaja bekas penagih akan didedahkan tentang pentingnya mengundi

Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) menyambut baik Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Persekutuan yang menurunkan umur mengundi dari 21 ke 18 tahun yang diluluskan dalam bacaan kedua di Dewan Rakyat, semalam.

Yang Dipertua Pengasih, Ramli Abdul Samad berkata, sebagai persatuan yang menjalankan pusat rawatan dan pemulihan penyelahgunaan dadah, pihaknya akan mendedahkan proses dan tanggungjawab mengundi kepada pesakit berumur 18 tahun.

Namun katanya, pihak berwajib diharap dapat memberi penjelasan tentang kepentingan undi dari pesakit atau bekas penagih di rumah pengasih.

“Apabila akta undi dipinda, kami pihak Pengasih memohon daripada pihak berwajib supaya memberi sedikit penjelasan kepada pihak kami supaya kami boleh sampaikan ke ahli Pengasih di seluruh Malaysia terutama remaja bawah 18 tahun.

“Kami mahu penjelasan tentang hak mereka dan betapa pentingnya undi mereka untuk negara, dan sama ada undi mereka akan menentukan masa hadapan negara. Sejauh mana kerajaan mengambil berat undi dari pesakit di sini.

“Walau apapun, kami akan sentiasa menggalakkan mereka untuk menggunakan hak sebagai pengundi yang layak mengundi dan mendidik mereka supaya membuat pilihan yang tepat,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Dalam pada itu beliau berkata, pesakit yang berusia 18 tahun yang masih dalam proses pemulihan dilihat masih memerlukan masa untuk dididik tentang tugas dan tanggungjawab mereka.

Jelasnya, pihaknya sentiasa berusaha mendedahkan para pesakit dengan hal ehwal semasa dalam negara supaya mereka tidak ketinggalan dengan setiap isu yang berlaku.

“Apabila menjadi penagih, mereka kurang peka dan ambil tahu isu negara kita. Tetapi setelah mereka dipulihkan, saya percaya mereka akan mula sensitif dengan isu sekeliling mereka.

“Semasa mereka menjalani rawatan dan pemulihan selama enam bulan, mereka tak dibenarkan menggunakan telefon bimbit. Tetapi selepas enam bulan, dalam fasa integrasi semula dengan masyarakat, mereka dibenarkan menggunakan telefon,” ujarnya.