Malaysia Dateline

Remaja dimandikan macam jenazah lantik peguam, prosiding semakan jenayah 17 Januari ini

Daniel Iskandar, remaja yang dimandikan seperti jenazah hari ini melantik Tetuan Hariz Syakinah & Co bagi mewakili dirinya dengan bantuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Menurut Presiden PPMM Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Tetuan Hariz Syakinah & Co telah mendapat makluman bahawa terdapat satu prosiding semakan jenayah yang telah ditetapkan mengikut peruntukan di bawah Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) di Mahkamah Tinggi Jenayah 1 di Shah Alam pada 17 Januari ini.

“Atas dasar tersebut dan di atas arahan untuk mewakili Daniel maka PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co akan hadir di hadapan mahkamah Tinggi pada hari tersebut,” katanya dalam kenyataan.

PPMM juga merujuk kepada pelbagai versi fakta dan penceritaan berkaitan latar belakang Daniel dan kejadian berkenaan yang dalam pandangan PPMM adalah tidak begitu sihat dari sudut keadilan dan kepentingan Daniel.

“Mahupun mana-mana pihak yang berkaitan untuk diteruskan di media sosial terutamanya dalam menghormati prosiding yang akan berlangsung di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Isnin yang akan datang,”katanya lagi.

Justeru PPMM melalui Tetuan Hariz Syakinah & Co bagi pihak Daniel memohon jasa baik semua pihak untuk mengelakkan daripada mengeluarkan apa-apa kenyataan yang boleh menampilkan kekeliruan di pihak masyarakat awam sehinggalah penyelesaian prosiding di Mahkamah Shah Alam tersebut

“PPMM melalui tetluan akan memberikan kenyataan penuh ytang lanjut selepas selesainya prosiding tersebut kelak,” tambah beliau.

Tular satu rakaman video memaparkan tindakan jemaah sebuah masjid di Kuang memandikan seorang lelaki yang disyaki mencuri tabung masjid berkenaan.

Dalam rakaman video selama satu minit 25 saat itu, jemaah masjid berkenaan dilihat memandikan suspek seperti jenazah, termasuk melumurkannya dengan kapur barus.