Malaysia Dateline

Remaja larikan diri disyaki Covid-19 dtahan Polis Kuching

Seorang remaja lelaki yang dikategorikan sebagai orang yang disyaki (PUI) Covid-19 telah ditahan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani (gambar atas) memberitahu, suspek dikatakan melarikan diri dari Hospital Umum Sarawak (HUS) itu ditahan selepas pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam sekitar jam 4.25 petang.

Katanya, semasa ditahan di Taman Hussien di Petra Jaya, suspek hanya seorang diri dan mendakwa ditinggalkan oleh rakannya.

“Suspek telah dibawa ke Balai Polis Gita dan hasil soal siasat, remaja terbabit mengaku keluar dari HUS.

“Sebelum ini dia dirawat di Pusat Jantung Kota Samarahan dan dirujuk ke HUS selepas mengadu sesak nafas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, remaja terbabit yang belum lagi disahkan positif Covid-19 kemudian dihantar ke HUS semula menggunakan ambulan.

Untuk itu, ujarnya, sebagai langkah keselamatan, Balai Polis Gita telah melakukan kerja-kerja sanitasi dan anggota yang terlibat juga diarahkan membuat saringan.

Pada masa sama, Awang turut menafikan dakwaan mengatakan Balai Polis Gita telah ditutup.

“Sebenanya Balai Polis Gita masih beroperasi 24 jam seperti biasa, cuma kawasan yang mana remaja terbabit dibawa untuk disoal siasat sahaja ditutup untuk kerja-kerja nyah cemar,” tegasnya.