Malaysia Dateline

Remaja lelaki Tingkatan 5 jadi mangsa jenayah seksual guru

Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di Kelantan menjadi mangsa jenayah seksual guru berusia 53 tahun pada bulan lalu.

Guru itu didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini dengan lima pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap remaja terbabit.

Tertuduh, Mohamad Khairi Hassan, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh berkomunikasi melalui WhatsApp dengan remaja itu dengan menawarkan hadiah motosikal jenis Yamaha Lc berwarna merah kepada mangsa.

Tawaran itu dengan niat melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 akta sama.

Kejadian tersebut berlaku pada 13 Januari lalu jam 4.37 petang di sebuah kampung di daerah ini.

Pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh melakukan jenayah seksual terhadap remaja yang sama di sebuah bilik hotel, di sini jam 3 petang pada 29 Januari lalu.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta yang sama dan Seksyen 14(d) akta yang sama.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, tertuduh melakukan jenayah seksual terhadap mangsa yang sama.

Kejadian tersebut dilakukan pada 13 dan 14 Januari jam 9.22 pagi serta 10.31 pagi di kampung sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a)Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 15(f) akta yang sama.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam, Ahmad Nuri Abdul Rahman.

Terdahulu, Hajarul Falenna Itah memohon supaya mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, Ahmad Nuri memohon jaminan diberikan kepada anak guamnya memandangkan tertuduh bertugas sebagai seorang guru selain perlu menanggung keluarga.

Mahkamah kemudiannya menetapkan RM30,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu melapor diri di balai polis setiap 1 hari bulan setiap bulan.

Mahkamah juga menetapkan 11 April sebagai tarikh sebutan semula kes.