Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel

Remaja Palestin maut ditembak tentera Israel

Seorang remaja Palestin meninggal dunia pada Selasa selepas tentera Israel menyerbu penunjuk perasaan yang berhimpun di kawasan berhampiran sempadan Semenanjung Gaza dan Israel minggu lalu, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Palestin.

Hassan Nabil Nofal, 17, ditembak di kepala oleh tentera zionis Jumaat lalu ketika menyertai perhimpunan membantah pendudukan Israel, kata jurucakap kementerian Ashraf al-Qidra.

Lebih 250 penunjuk perasaan mati syahid manakala ribuan lagi cedera akibat ditembak tentera Israel sejak Palestin mula mengadakan bantahan di zon penampan Mac lalu.

Penunjuk perasaan menuntut hak pelarian Palestin untuk kembali ke rumah mereka di kawasan yang ditawan Israel sejak 1948.

Mereka juga mahu pembebasan Semenanjung Gaza yang diduduki Israel sejak 12 tahun lalu, yang telah menjejaskan ekonomi kawasan pesisiran pantai dan kira-kira dua juta penduduk hilang mata pencarian.

— BERNAMA