Malaysia Dateline

Remaja parah langgar gajah berkeliaran di kawasan penduduk

Seorang remaja parah selepas terlanggar gajah yang berkeliaran di kawasan berdekatan perumahan Taman Seri Impian Kluang 10 malam tadi.

Kehadiran gajah tanpa disedari kerana kawasan terbabit dikatakan tidak mempunyai lampu jalan menyebabkan remaja yang menunggang motosikal bersendirian cedera parah.

Ekoran itu Muhammad Danish Saedin, 17, yang juga pelajar sekolah menengah sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru.

Ibu mangsa, Mislawati Paiman, 46, berkata sebelum kejadian anaknya dikatakan mengisi minyak motosikal di Taman Seri Impian di sini sebelum pulang ke rumah mereka di Taman Sri Lambak.

“Doktor mengatakan terdapat pendarahan di kepalanya dan kekal. Ketika ini anak saya sedang ditidurkan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Beliau memohon pihak berkuasa memasang lampu jalan di kawasan berkenaan yang bergelap pada waktu malam.

“Saya berharap kejadian seperti ini tidak berulang lagi pada masa depan,” katanya.

Tiada lampu jalan, remaja parah langgar gajah berkeliaran di kawasan penduduk

Dia berharap pihak berkuasa memandang serius isu kehadiran gajah di kawasan kawasan berdekatan perumahan penduduk di Kluang akhir-akhir ini.

Mislawati mendapat tahu berita kemalangan berkenaan daripada rakan anak yang bergegas mencarinya di rumah.

“Memang terkejut dan kami sekeluarga bergegas ke Unit Kecemasan Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom selepas itu.

“Difahamkan saksi kejadian mengatakan anak saya ditemui masih sedar selepas pelanggaran itu,” katanya ketika dihubungi hari ini, dipetik Harian Metro.

Baca juga: Dakwa ‘disembelih’ syarikat pengendali rider mogok hari ini

baca juga: Elak fitnah dan auta, lebih baik Hadi Awang tumpu dakwah dan agama